Tuesday, February 9, 2010

Bila Cinta Berlagu Di Hati - 16

"Anak itik tokwi mandi dalam kolam, sakit apa tokwi sakit sendi tulang, ubat apa tokwi, ubat limau lelang...."

Dahi Adibah berkerut. Siapa yang menyanyi kat telinga aku ni? Matanya terasa agak berat namun digagah juga untuk membuka. "Dia dah sedar" Terdengar satu suara. Suara yang sama menyanyikan lagu Anak Itik Tokwi, suara yang dia cukup kenal. Lutfi!

Adibah terpinga-pinga memandang sekeliling. Bilik ini, bukan bilik tidurnya. Pakaian yang dipakainya juga bukan pakaian yang di pakainya malam tadi. Dia bingkas bangun namun tingkahnya terhenti, seluruh badannya terasa sengal-sengal. Kepala pula bagaikan enggan berhenti untuk berdenyut.

"Adi kat mana?" Suaranya sedikit merintih menahan rasa sakit. Kak Ijah yang berdiri di sebelah Lutfi datang menghampirinya. "Adi pengsan malam tadi. Adi kat hospital sekarang ni" Belakang Adibah diusap dengan lembut.

Adibah terdiam. Masih dalam keadaan keliru. "Apa awak buat dekat sini?" Lutfi tersenyum. Senang hati bila Adibah tidak lagi berencik-encik dengannya. "Dia yang hantar Adi ke hospital. Kebetulan masa Adi pengsan, Lutfi datang ke rumah" Belum sempat Lutfi membuka mulut, Kak Ijah terlebih dahulu bersuara.

"Adi kena demam panas. Nasib juga tak apa-apa. Kenapa Adi tak beritahu saya yang Adi sakit?" Beritahu dia? Eh! Eh! Aku silap dengar ke?

Adibah menundukkan wajahnya. Membiarkan rambutnya yang terhurai menutupi sebahagian mukanya. Jari jemarinya digenggam erat. Mana Hazmi? Bukan ke Hazmi yang sepatutnya berada di sini sekarang.

"Adi nak makan? Saya belikan untuk Adi ye?" Lembut suara Lutfi memukul gegendang telinganya. Adibah masih seperti tadi. Langsung tidak mendongak.

"Adi......." Adibah tersentak. Tergamam dengan tindakan Lutfi yang tiba-tiba menyentuh dagunya, memaksanya untuk mendongak ke atas. "Adi!"

Hazmi tiba-tiba tersembul di muka pintu. Adibah bagaikan tersedar dari lamunan. Masih tergamam dengan tindakan Lutfi sebentar tadi. Tangan Lutfi yang masih memaut dagunya, ditepis cepat-cepat. Meskipun Hazmi tidak berkata apa-apa namun jelas riak kurang senang terbit di wajahnya.

"Adi!" Ulang Hazmi lagi. Dia menerpa ke birai katil. Wajah cengkung Adibah direnung dalam-dalam. Maaf Adibah! Abang lalai tentang mu! Rasa bersalah mula menghantui hati lelakinya.

"Lut, thanks! Kak Ijah cakap, kau yang susah payah bawa Adi ke hospital." Tangannya di hulur ke arah Lutfi namun huluran tangan itu sekadar dibiarkan sepi oleh Lutfi.

"Engkau memang sengaja nak cari gaduh dengan aku kan?" Lutfi tiba-tiba bersuara. Kasar! Hazmi dan Adibah berpandangan sesama sendiri. Terkejut melihat tingkah Lutfi yang tiba-tiba naik angin.

Lutfi mendengus geram sebelum berlalu keluar. Angin marahnya akan makin berapi kalau dia terus berada di situ!

"Adi tunggu sekejap ye, nanti abang datang balik" Hazmi bergegas keluar meninggalkan Adibah yang terkulat-kulat memandang. Adibah masih terkebil-kebil di atas katil, memandang ruang kosong di dalam bilik itu. Apa yang berlaku sebenarnya....

"Lut! Lut! Tunggu sekejap!" Jeritan Hazmi tidak diendahkannya. Langkahnya juga makin dipercepatkan. Ah! Persetankan!

"Lut! Nanti dulu!" Hazmi berlari laju. Langkah Lutfi dipintasnya dengan cepat. "Kau ni apa hal? Tiba-tiba block langkah aku ni?" Lutfi makin menyinga, bercekak pinggang merenung wajah Hazmi.

"Aku yang patut tanya kau. Yang kau tiba-tiba marah ni, kenapa? Aku ada buat salah ke?" Ujar Hazmi sedikit mengah menahan penat mengejar Lutfi sebentar tadi.

"Engkau rampas Adi dari aku! Kau tahukan, aku dah lama sukakan Adi!" Suaranya makin kuat. Tidak dihiraukan banyak mata yang mula memandang tingkahnya.

"Lut, kau kan dah bertunang! Dan aku tak rampas Adi dari kau"

"Tapi, engkau sendiri pun dah ada Sofia kan?" Hazmi terdiam mendengar bicara Lutfi. Nafasnya ditarik dalam-dalam. "Aku dan Sofia dah tak ada apa-apa lagi. We're just a friend!"

"Heh! Friend? Setiap malam keluar bersama, engkau kata kawan?" Lutfi tersenyum mengejek.

"It's up to you nak percaya atau tidak."

"Adibah hak aku! Aku akan ambil semula bila-bila masa!" Nada amaran mula kedengaran. Hazmi mengeleng kepalanya berkali-kali.

"Kesianlah pada tunang kau Lutfi"

"Aku lebih kesian pada Adibah sebab kau langsung tak cintakan dia!" Tengking Lutfi sebelum bergegas pergi. Hazmi terpaku di situ. Matanya masih memerhati kelibat Lutfi yang kian hilang. Hazmi menarik nafasnya lagi. Lebih dalam, lebih berat. Jam tangan di jeling sekilas. Teringatkan Adibah yang ditinggalkan berseorangan, Hazmi cepat-cepat mengaturkan langkahnya.

No comments:

Post a Comment