Tuesday, February 9, 2010

Bila Cinta Berlagu Di Hati - 15

Sudah hampir 3 bulan usia pertunangannya namun tidak sekali pun dia dan Hazmi keluar bersama. Telefon pun boleh dikira dengan jari berapa kali yang pernah dia terima.

Adibah menumpang dagu di tepi jendela. Memandang bintang-bintang kecil yang berteraburan di dada langit. Pipinya terasa sejuk dicium angin malam yang bertiup lembut. Tiba-tiba terasa sayu. Terkenangkan kata-kata Lutfi siang tadi. Dalam diam terasa ada benarnya. Hazmi memilih dirinya pun atas kehendak ibunya. Mungkin dia sebenarnya terpaksa. Huh! Keluhan berat dilepaskan.

Perasaan cinta mula berlagu di hatinya. Rasa kasih mula menyanyi di jiwanya tapi sayang rentaknya sumbang bila cuma dia seorang yang merasainya. Namun dalam sumbang terasa makin merdu pula di telinganya. Dia tersenyum pula.

Adibah membulatkan matanya. Memandang seseorang yang melambai tangan dari bawah. Matanya dibuka makin lebar dan sesakali tangannya menggosok-gosok matanya pula. Macam tak percaya apa yang dilihat di depan mata. Hazmi!

Kelam kabut dia mencapai tudung sebelum berlari ke bawah. Dalam debar terasa seronok!

"Abang ganggu Adi termenung ke?" Senyuman yang dirindunya terukir di bibir. Adibah tersengeh. Kepalanya digeleng cepat-cepat. "Ingatkan siapa tu?"

Adibah masih tersengeh. Tersipu-sipu malu di depan Hazmi. "Maaflah! Abang sibuk sangat kebelakangan ni sampai tak ada masa nak temankan Adi"

"Tak apa!" Entah penyakit apa yang melanda setiap kali berdepan dengan Hazmi, asyik susah nak bercakap.

"Hazmi!" Mereka berdua serentak menoleh. Seorang gadis berbaju kebaya melangkah menghampiri mereka.

"Lama lagi ke? Cepatlah! Kita dah lewat ni!" Adibah menelan air liurnya. Sofia!

"Adi kenal kan? Sofia!" Adibah mengangguk perlahan. "Abang ada dinner dengan dia. Nanti abang call Adi ye" Call? Huh! Sampai berjanggutlah aku tunggu!

"Jangan asyik merenung bintang kat langit tau! Ada sebutir bintang di tanah yang inginkan perhatian Adi!" Hazmi bersuara sambil mengenyitkan matanya sebelum berlalu pergi. Wajah Adibah serta merta merona merah menahan getaran di jiwanya. Apa maksudnya?

Dia masih menghantar pandangan meskipun kereta yang dipandu Hazmi sudah berdesup berlalu pergi. Betul agaknya kata-kata Lutfi, Hazmi dan Sofia masih bersama, tetapi ayat terakhir yang diucapkan Hazmi tadi bagai mengungkap maksud yang tersembunyi. Nafas berat dilepaskan. Aku cemburu!

Adibah terbatuk-batuk lagi. Sudah masuk hari ke tiga, namun tanda-tanda batuknya akan reda lansung tidak kelihatan. Dia mengurut dadanya dari atas ke bawah berkali-kali. Buat seketika nafasnya terasa bagaikan tersangkut.

Dia bingkas bangun menuju ke tingkap. Memandang langit petang yang yang kian menguning senja. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Terasa begitu selesa tatkala bau harum daun-daun hijau dan bunga-bungaan segar memasuki rongga hidung dan mulutnya.

"Adi!" Suara kuat dari luar bilik memaksanya untuk menoleh. "Buka lah pintu! Akak ada masak bubur untuk Adi" Adibah tersenyum. Sejak dia jatuh sakit, Kak Ijah lah yang banyak menjaganya.

"Buat susahkan akak je" Adibah tersenyum namun ternyata senyumannya tidak bermaya. "Tak ada susahnya, akak cuma masak bubur." Semangkuk bubur nasi yang masih panas di letakkan di hadapan Adibah.

"Adi tak makan ubat ke? Akak tengok demam Adi tak kebah-kebah lagi. Batuk pun makin teruk bunyinya" Kak Ijah meletakkan belakang tangannya ke dahi Adibah. Suam!

"Adi ni dah naik loya makan ubat kak! Dah nak habis pun ubat Adi ni, tapi tak tahulah kenapa tak sembuh lagi demam Adi!"

"Demam lain kot ni?" Kak Ijah tersengeh. Mata Adibah mula terbuntang. "Apa akak ni! Demam lain apa pulaknya?" Demam lain? Demam apa? Takkan kerana cemburukan Hazmi dan Sofia aku boleh jatuh demam sebegini teruk. Betul ke ni? Aduh! Penangan jatuh cinta memang parah!

"Makanlah! Tak berjamah pun, penat akak masak tau! Atau Adi nak akak suapkan?"

"Adi tak ada seleralah kak. Kejap lagilah Adi makan" Kak Ijah terdiam mendengar suara Adibah yang tidak bermaya. Hilang mulut becoknya, hilang brutalnya bila dia jatuh sakit.

Adibah merebahkan badannya di atas katil. Tangannya meraba-raba bibirnya yang kering dan mula pecah. Terasa perit.

"Dah nak maghrib ni, Adi jangan tidur pulak! Tak baik tidur masa-masa macam ni" Pesan Kak Ijah sebelum berlalu pergi. Adibah sekadar mengangguk. Matanya memang sukar untuk pejam. Berdenyut-denyut kepalanya setiap kali dia memaksa mata untuk pejam. Sudahnya, telah beberapa hari tidurnya tidak menentu.

No comments:

Post a Comment