Tuesday, February 9, 2010

Bila Cinta Berlagu Di hati - 12

Aishah tersenyum sendirian. Matanya tidak lepas memandang tingkah Adibah yang sibuk memasak di dapur. Cepat benar masa berjalan. Anak sulungnya sudah dewasa. Dan dia bakal menimang cucu tidak lama lagi. Bibir tuanya masih melebar dengan senyuman.

"Macam mana keputusan Adi?" Soalnya sebaik Adibah melabuhkan punggung di sisinya. Wajah gadis itu sedikit keruh.

"Mak……. Adi tak naklah!"

"Kenapa pula? Adi dah jumpa belum dengan Hazmi?" Tangan Adibah diusap lembut. Adibah terdiam. Masih terbayang-bayang lagi peristiwa kelmarin. Peristiwa yang membuatkan petangnya yang indah bertukar menjadi mendung kelabu. Rasanya masih boleh terdengar lagi gelak ketawa Hazmi dan gadis itu. Mesranya bukan main. Siap berpeluk-peluk lagi! Hati Adibah mendongkol geram.

"Adi…….. Mak tanya ni. Kenapa diam je?"

"Tak ada apa-apa lah mak. Adi dah jumpa dah dengan dia tapi Adi rasa kami berdua tak sesuailah jadi pasangan suami isteri"

Hemmmm…… Aishah mengeluh perlahan.

"Kesian kat Mak Ucu Adi! Dia beria-ria nak berbesan dengan kita. Masa arwah ayah Adi ada lagi, Mak Ucu dah sibuk bertanya pasal Adi" Adibah menggigit bibir bawahnya berkali-kali.

"Alah mak ni! Kita dengan Mak Ucu tu kan dah memang bersaudara, kalau tak berbesan sekalipun masih juga bersaudara" Jari jemarinya sibuk menguis-nguis hujung tikar mengkuang yang sudah tertanggal. Baru dia tahu yang selama ini dia dan Hazmi adalah bersaudara. Apa kata orang tu? Bau-bau bacang! Lebih kuranglah tu!

"Hemmmmmm………. Tak tahulah macam mana mak nak menjawab dengan Mak Ucu Adi nanti. Tak sampai hati pula nak sampaikan berita sedih ni" Berita sedih! Mak! Anak emak ni lagi sedih tau!

"Malam ni Adi ikut mak pergi rumah Mak Ucu"

"Hah? Buat apa mak?" Wajah Adibah mula berkerut. Wajah ibunya direnung penuh tanda tanya. Takkanlah sebab nak menyampaikan 'berita sedih' (seperti yang dikata emak) tu dia pun perlu mengikut sama.

"Ada kenduri malam ni."

"Kenduri apa pulak mak? Adi tak nak ikutlah!" Janganlah emak memaksanya untuk turut serta. Adibah memohon di dalam hati.

"Adi kena ikut! Wajib!" Adoi! Wajib? Alahai, habislah engkau Adibah!
Wajahnya direnung di dalam cermin. Sekadar berbedak tipis. Cukuplah ! Tudung berwarna kuning cair itu dipadankan dengan baju kurung warna yang sama. Tubuhnya dipusing beberapa kali di depan cermin. Hemmm…. Oklah tu! Kang lawa-lawa sangat ramai pula yang ingin menjadikannya sebagai menantu. Hehehe…. Tak habis-habis dengan perangai angkat bakul naik sendiri!

"Adi! Tak siap lagi ke? Cepatlah! Abang Razak kamu ni dah lama tunggu!" Suara Aishah nyaring kedengaran dari luar bilik. Adibah terkocoh-kocoh keluar. Asyik berangan sampai menyusahkan orang pula!

"Amboi Adibah! Sampai bertanduk abang tunggu. Bersiap mengalahkan tuan puteri" Razak berseloroh sambil ketawa kecil. Adibah tersengeh. Dia dan Razak sudah macam adik beradik. Jiran sebelah rumah yang banyak membantu sejak kematian ayah. Dan juga merangkap sebagai driver tak bertauliah kepada mereka sekeluarga setiap kali hendak ke bandar atau ke mana-mana memandangkan Razak mempunyai kereta.

Julia isteri Razak turut ketawa. Anak sulungnya yang berusia 2 tahun terlena di dalam dakapan.

"Menunggu Adi bersiap sampai Ajif pun dah tertidur!" Adibah tersengeh lagi. Salah sendiri jadi terpaksa mengunci mulutnya.

Melalui cermin tingkap dia meninjau ke luar melihat kereta yang berderet di laman rumah Mak Ucu ibu Hazmi. "Tunggu apa lagi? Cepatlah keluar!" Adibah terkebil-kebil. Lambat-lambat mengikut langkah emak yang sudah menuju ke dapur.

"Adi!" Langkahnya mati. Perlahan-lahan mendongak ke atas beranda kayu berukiran bunga matahari itu. Alamak! Hazmi! Adibah tersenyum kelat.

"Dah lama abang tunggu Adi. Bimbang juga kalau-kalau Adi tak sudi nak menjengah ke sini" Senyuman yang sentiasa mengundang khayalannya terukir di bibir Hazmi. Adibah meneguk air liurnya berkali namun sukar untuk ditelan. Asyik tersangkut di kerongkong saja!

"Abang long!" Seorang gadis cantik tiba-tiba meluru ke arah Hazmi. Merangkul manja lengan lelaki itu. Mata Adibah bagaikan ingin tersembul keluar tatkala terpandang wajah gadis tersebut. Gadis yang di lihatnya bergelak ketawa denga Hazmi tempoh hari. Jadi……

"Kenalkan ini adik bongsu abang, Hayati. Dia baru balik dari London! Kenduri ni untuk sambut kepulangan tuan puteri ni lah!" Adibah kaku di situ. Terkulat-kulat memandang Hayati yang tersenyum lembut ke arahnya.

"Siapa ni abang long?"

"Kalau empunya diri dah setuju, inilah bakal Kak Long Yati!" Gulp! Terasa dadanya ingin meletup.

"Oooooooo. Kak Adi kan? Hemmmm….. Cutelah akak ni! Muka macam budak 18 tahun!" Adibah tersipu malu. Baru tahu ke? Hehehe…….Angkat bakul naik sendiri lagi!

"Adi!" Mereka bertiga serentak menoleh. "Ya Allah budak bertuah ni! Cepatlah masuk tolong apa yang patut. Tercegat kat situ pulak dia!" Adibah tersengeh. Emak ni! Kacau daun pula dia! Adibah kelam kabut melangkah meninggalkan Hazmi yang masih memandangnya. Terasa langkahnya pincang bila ekor mata lelaki itu mengekor setiap tingkahnya. Cool Adibah! Maintain cute!

Adibah tersipu-sipu masuk bila semua mata tertumpu ke arahnya. "Adi! Apa khabar nak?" Dia tergamam bila tubuhnya tiba-tiba dipeluk erat oleh Mak Ucu. Emak yang berdiri di sisinya dijeling sekilas. Wajah emak jelas kelihatan serba salah.

"Macam mana ni Adi? Mak serba salah nak sampaikan jawapan Adi tu" Suara Aishah sedikit berbisik. Adibah terdiam. Gadis yang disangkanya teman wanita Hazmi itu rupa-rupanya adalah adiknya. Kalau hendak diikutkan sekarang memang tak ada alasan untuk dia menolak memandangkan dia memang suka kan Hazmi. Tetapi lelaki itu pula sekadar menurut kehendak ibunya. Entahkan suka, entahkan terpaksa!


No comments:

Post a Comment