Tuesday, February 9, 2010

Biarlah Cinta Berlagu Di Hati - 30

Sebuah kereta Mercedes Benz berwarna silver, menjalar di depan rumahnya. Siapa? Hati kecilnya tertanya-tanya. Tidak mungkin kereta Afnan. Semalam adiknya itu balik menaiki motosikal Yamaha nya. Dan sememangnya tidak mungkin Afnan mampu memiliki kereta semewah itu!

"Along!" Adibah hampir-hampir terjatuh ke dalam longkang di belakang rumahnya. "Apa ni angah? Main jerkah-jerkah! Nak bagi along semput ke?" Mata Adibah tercegil menahan geram.

"Cepatlah masuk! Entah orang kaya mana entah yang dok tunggu along dari tadi" Afnan tersengeh. Adibah mendengus geram. Tubuh Afnan yang menghadang jalannya, ditolak dengan kasar.

"Mak mana?"

"Pergi rumah Alang Timah. Menantu Alang Timah tu baru bersalin!" Aishah, adiknya yang paling bongsu tiba-tiba menjawab.

"Dah buatkan air untuk tetamu?" Aishah mengangguk laju.

Orang kaya mana pula yang datang nak jumpa aku? Adibah berteka teki di dalam hati.

Sofia! Adibah hampir menjerit namun suaranya bagaikan tersangkut dikerongkong. Tidak mampu untuk dikeluarkan. Dada Adibah mula berdebar-debar. Apa yang dia hendak? Sampaikan sanggup mencari aku hingga ke sini?

"Kalau tak silap saya, ini Sofia kan?" Sebaik mungkin cuba menahan getaran di dadanya.

Gadis cantik itu tersenyum lembut. Ayu! "Betul tu! Saya Sofia dan ini papa saya" Seorang lelaki berumur merenung tajam ke arahnya. Duduknya makin tidak betah dek renungan tajam papa Sofia.

"Kenapa datang jumpa saya?"

"Supaya engkau lepaskan Hazmi!" DIrect! Tanpa bengkang bengkok atau bahasa berbunga. Lelaki yang dikatakan papa Sofia itu menjawab keras. Tegas! Setegas renungan tajam yang tidak lekang dari matanya.

Adibah mengetap bibirnya berkali-kali. "Kenapa?" Soalnya sepatah.

"Look at here!" Kain kurung yang dipakai Sofia diselak hingga ke lutut. Adibah tergamam. Matanya terpaku memandang kaki palsu separas lutut itu. Sofia berkaki palsu? Nafas Adibah mula turun naik. Sesak!

"This happened because of Hazmi!" Nada suaranya masih sama. Keras! Tegas! Kasar!

"Saya tak faham maksud uncle. Apa sebenarnya yang dah berlaku?" Sungguh! Janganlah dok bermain teka teki dengannya. Benda-benda macam ni memang dia selalu fail!

"Sofia terlibat dalam kemalangan 3 tahun lalu. Dan orang yang bertanggungjawab adalah Hazmi! DIa yang memandu membuta tuli hinggakan Sofia yang terpaksa menjadi mangsanya!" Sarifuddin menarik nafasnya dalam. Marah dan geram bila ada insan yang cuba melukakan hati Sofia, anak tunggal kesayangannya.

"Hazmi dah berjanji akan menjaga Sofia sepanjang hayatnya dan sekarang dia tiba-tiba bertunang dengan awak! Macam mana dengan Sofia? Mana ada lelaki yang suka dengan gadis tempang macam Sofia!" Dia menambah lagi.

Adibah terdiam. Jari jemarinya diramas berulang kali. Mungkin perkara ini yang hendak dijelaskan oleh Hazmi malam tadi dan selama ini! Mungkin sebab ini yang memaksa lelaki itu memintanya membuat keputusan.

"Adi....... Saya pun tak ingin buat macam ni. Tapi saya memang cintakan Hazmi. Dengan keadaan saya yang macam ni, saya makin tidak sanggup kehilangan Hazmi. Tolonglah!" Sofia merayu perlahan. Mata gadis cantik itu sudah digenangi air. Menunggu masa untuk jatuh!

Adibah masih mendiamkan dirinya. Dia menoleh kebelakang memandang Afnan dan Aishah yang sejak tadi sekadar mendengar dan memerhati. Kedua adiknya cuma menjungkitkan bahu. Tidak faham apa yang berlaku.

"Saya akan bagi apa saja jika awak sanggup memutuskan pertunangan ini!" Dada Adibah makin bergetar. Apa saja? Dia tidak mahu apa-apa pun!

"Kenapa tidak minta Hazmi saja yang putuskan hubungan ni?" Adibah akhirnya bersuara. Nafasnya yang ditahan sejak tadi dilepaskan keras!

"He love you!" Jantungnya bagaikan berhenti berdegup. He love you! Benarkah Hazmi cintakannya. Selama ini lelaki itu sentiasa menyembunyikan perasaannya. Dia sendiri tidak dapat mengagak perasaan lelaki itu.

"Saya kenal dia dah lama Adi. Dah masak dengan perangainya. Saya tahu apa yang bermain di hatinya. Dia sekadar menggenggam janjinya terhadap saya!" Gadis itu makin merintih. Manik-manik mutiara sudah berjuraian di pipi gebu miliknya.

"Sebab itu saya tak mampu meminta Hazmi memutuskan pertunangan ini!" Patutlah! Patutlah Hazmi yang memintanya membuat keputusan. Mungkinkah itu maksud yang tersirat?

" I beg you Adi! Please......." Ya Allah! Dugaan apa ini? Adibah terasa ingin menangis.

"Uncle tidak pernah merayu pada sesiapa sebelum ini. Tidak pernah melutut juga dengan sesiapa. Tapi demi Sofia, satu-satunya permata hati uncle, tolonglah! Uncle merayu!" Adibah tergamam. Papa Sofia tiba-tiba melutut di hadapannya. Hilang sudah sikap bengis yang ditunjukkannya sebentar tadi. Dan yang ada di depannya adalah seorang lelaki yang dhaif dan tidak bermaya memohon belas untuk anak tersayang!

"Uncle! Jangan macam ni! Saya cuma manusia, tak perlu melutut sampai macam ni! Angah tolong along!" Adibah menjerit. Bersusah payah dia mengangkat tubuh lelaki tua itu. Mujur Afnan ada untuk membantu. Kalau dengan khudratnya saat ini memang dia tidak mampu.

"Sofia, uncle, baliklah dulu. Saya akan fikirkan hal ini dulu." Adibah bersuara perlahan.

"Kenapa masih nak fikirkan pasal ni? Kenapa tak boleh putuskan keputusaan masa ni?" Sarifuddin mula menyinga kembali. Sia-sia dia merayu nampaknya.

"Saya....saya.... memang tak dapat nak buat apa-apa keputusan sekarang?" Adibah serba salah.

"Kenapa? Adi juga cintakan Hazmi ke?" Soalan Sofia membuatkan dia terdiam. Entah? Mungkin juga. Pertama kali berjumpa dengan Hazmi sudah mengundang melodi hindustan di hatinya.

"Saya tak tahu Sofia tapi berikan saya masa untuk fikirkan semua tu." Sofia mengeluh perlahan. Wajahnya nampak keruh.

"Papa, jomlah kita balik!"

"Awak akan menyesal kalau buat keputusan yang sebaliknya. Kalau benar awak cintakan Hazmi sekalipun, lebih baik awak lepaskan dia demi masa depan Hazmi sendiri. Lainlah kalau awak suka lihat Hazmi menderita!" Ugut Sarifuddin keras. Senyuman sinis diberikan sekilas sebelum melangkah keluar.

Sebaik deruan enjin kereta itu menghilang, kelam kabut Afnan dan Aishah datang menghampirinya. "Apa yang dah berlaku ni along? Kenapa lelaki tu marah-marah dengan along?" Adibah mengelengkan kepalanya berkali-kali.

"Along pun tak tahu angah! Along pun nak tahu!" Adibah akhirnya menangis. Air mata yang ditahan sejak tadi gugur jua.

No comments:

Post a Comment