Tuesday, February 9, 2010

Biarlah Cinta Berlagu di Hati - 29

"Along ni memang berpakat dengan Adi ke?" Kening Hazmi serta merta terjungkit. Wajah tua ibu yang sudah berkedut seribu itu direnung tanpa berkelip.

"Hish! Pandang macam nak telan ibu je!" Meledak ketawa dibibirnya. "Ibu ni! Along bukan apa, terkejut bila ibu tiba-tiba cakap macam tu. Apa yang along dah berpakat dengan Adi?"

"Adi pun balik kampung juga! Semalam masa ibu ke kedai Pak Brahim kat hujung simpang tu, terserempak dengan Adi yang dok menjinjing beg besar." Ujar Mak Ucu sambil menggulung sirih muda di hujung silanya.

"Ibu........" Kata-katanya mati. Teragak-agak untuk meneruskan bait ayat yang seterusnya.

"Uhmp...." Mak Ucu menjuihkan bibirnya memberi isyarat agar Hazmi meneruskan ceritanya. Mulutnya laju mengunyah daun sirih yang telah dibalut dengan buah pinang dan sedikit kapur yang sudah dicalitkan.

"Ibu...... Mi ada sesuatu nak ceritakan pada ibu tapi tak tahu dari mana nak mula. Mi nak dengar pendapat ibu" Wanita tua itu sekadar mengangguk. Mulutnya masih asyik mengunyah daun sirih, biar sampai lumat baru dia keluarkan hampas daun sirih itu ke tanah.

"Errrrr...... Macam mana nak cerita ye? Hemmm.... 3 tahun dulu, along......."

"Assalamualaikum!" Cerita Hazmi mati di tengah jalan sebaik mendengar ucapan salam di muka pintu. Dahi Mak Ucu berkerut. "Siapa pula yang datang maghrib-maghrib macam ni" Hazmi masih bersila di anjung rumah. Sekadar menghantar pandang ke arah ibunya yang kelam kabut membuka pintu.

"Astagfirullah! Adibah! Datang dengan siapa ni?" Hazmi hampir terlompat dari tempat duduknya tatkala nama Adibah disebut. Adibah?

"Adi tumpang abang Razak tadi. Mak kata Mak Ucu sakit. Dah pulak tu tinggal sorang-sorang. Mak suruh Adi temankan Mak Ucu" Tangan tua itu dicium lembut.

"Baiknya kamu Adi! Susahkan kamu pulak! Habis tu? Mak Adi tinggal dengan siapa kat rumah. Kesian pula kat dia. Dia pun sorang-sorang kat rumah" Mak Ucu bersuara agak risau. Ye lah kan, sibuk hendak membantu dia bimbang juga kalau-kalau ada apa-apa yang terjadi pada bakal besannya itu.

"Angah eh Afnan ada balik. Aishah yang duduk kat hostel pun ada balik. Jangan risau Mak Ucu, ramai yang temankan emak kat rumah tu" Adibah tersenyum lebar namun senyumannya tiba-tiba mati tatkala wajah Hazmi tersembul di depan matanya.

"Adi!" Eh? Bukan dia pergi Langkawi ke? Dia mula berteka-teki di dalam hati.

"Kebetulan, Along pun ada balik Adi. Entah apa mimpinya pun entahlah. Tu yang Mak Ucu cakap dia berpakat dengan Adi. Dah dua-dua pun balik kampung, ingatkan berjanji tadi" Bibir tua itu meletup denga ketawa. Adibah menelan air liurnya. Kelat!

"Baiknya Adi sudi temankan ibu abang"

"Adi ingat Mak Ucu tinggal sorang-sorang. Kalau macam tu, Adi baliklah!" Dia cepat-cepat menuju ke pintu.

"Adi nak balik dengan apa? Dah langsung Adi sampai, bermalam jelah kat sini. Pagi esok abang hantar Adi ye. Abang pun rindu dengan Adi" Baris ayat terakhir itu dilafazkan berbisik ke telingan Adibah.

Adibah terpacak di disitu. Terkejut dengan tindakan Hazmi dan lebih terkejut sebenarnya tatkala hembusan nafas lelaki itu menyapa cuping telinganya.

"Haah! Betul tu Adi! Tidurlah kat sini. Boleh juga kita bincangkan pasal persiapan perkahwinan yang nak dibuat nanti" Aduh! Susahlah macam ni. 2 lawan 1! Mestilah dia yang kalah. Hendak tak hendak, terima juga dalam terpaksa.

Adibah tidak senang duduk jadinya. Dari tadi, sejak makan malam tadi lagi Hazmi asyik menjeling dengan ekor matanya. Ke sana dia diperhatikan, ke sini pun dia dijeling. Hish! Terasa semua tingkahnya menjadi sumbang!

"Adi, Mak Ucu nak masuk tidur. Nanti kalau Adi nak tidur, masuklah bilik Yati tu. Mak Ucu dah siap kemaskan"

"Menyusahkan Mak Ucu aje!" Riak serba salah jelas terpamer di wajahnya. "Tak ada susahnya. Dah biasa, hari-hari Mak Ucu kemas bilik tu walaupun tak ada orang" Balas ibu Hazmi sebelum menghilangkan diri ke dalam bilik. Tinggal Adibah termanggu-manggu sendirian. Kelibat Hazmi hilang sejak tadi. Mungkin dia sedang menunaikan solat Isya' agaknya.

"Adi, nanti dulu!" Adibah yang baru memulas tombol pintu, terhenti tingkahnya. Hazmi menguntum senyum. Segak dengan berbaju teluk belanga dan berkain pelikat. Rambutnya masih kelihatan basah.

"Dah nak tidur ke? Duduklah dulu dengan abang. Kita sembang-sembang sekejap" Sembang-sembang? Nak disembangkan tentang apa lagi? Dahi Adibah mula berkerut.

"Jangan buat muka macam tu Adi. Nanti abang picit hidung baru tahu!" Hazmi tergelak kecil melihat Adibah yang secara spontan menutup hidungnya. Adi! Adi!

"Duduklah Adi! Rumah ibu abang ni walaupun nampak usang tapi masih kukuh. Belum nak runtuh lagi" Adibah yang masih tegak berdiri, cepat-cepat duduk bersimpuh di atas lantai. Wajahnya ditunduk ke bawah dan sesekali jari jemarinya memintal hujung tudungnya.

"Abang cakap nak pergi Langkawi. Kenapa tiba-tiba balik kampung pulak?" Adibah akhirnya memberanikan diri bersuara. Memang soalan ini asyik berlegar dibenaknya.

Hazmi tersenyum lembut. Redup matanya merenung tunak wajah Adibah. "Soalan cepu emas ni dah lama abang tunggu. Puas menanti Adi bertanyakan pasal tu" Kening Adibah terjungkit. Apa kena mengena pula soalan cepu emas dengan soalan aku?

"Sofia tak nak pergi!" Huh? Bukan dia yang tak nak pergi?

"Abang tak boleh nak paksa dia. Adi........... Kalau abang cerita satu perkara pada Adi, abang tak pasti Adi boleh percaya atau tidak" Adibah segera melarikan anak matanya. Tidak sanggup tatkala redup pandangan sepasang mata itu menujah wajahnya.

"Abang belum cerita lagi, macam mana Adi nak percaya atau tidak"

Adibah menelan air liurnya berkali-kali. Berkerut-kerut dahinya melihat tingkah Hazmi yang sedikit demi sedikit mengesot menghampirinya. Makin lama makin dekat pula!

"Apa abang buat ni?" Peluh sejuk mula merenek di hujung dahinya.

Hazmi tersenyum nakal. Tingkahnya masih seperti tadi. Terus rapat menghampiri Adibah hinggakan hujung lututnya sudah berlaga dengan hujung lutut Adibah.

"Abang dekat lagi, Adi menjerit!" Keras suara Adibah. Tubuhnya sudah tersandar di dinding.

Hazmi mengekek ketawa. "Abang saja je nak tengok Adi! Hehehe... Berpeluh-peluh juga Adi ye" Ketawanya masih bersisa.

"Abang jangan nak main-main dengan Adi! Adi ni ada tali pinggang hitam tau!" Hazmi tergelak kembali.

"Ye ke?"

"Betul lah! Nak test ke?" Kedua tangannya diangkat. Menggenggam buku lima ke arah Hazmi. Ketawa Hazmi makin menjadi. Kepalanya digeleng berkali-kali.

"Abang cakap nak cerita satu perkara dengan Adi. Apa dia?"

"Tak ada apa-apalah!" Rasanya Adibah tidak perlu tahu. Dia bahagia melihat tingkah gadis itu. Gembira melihat riak wajah comel itu yang sekejap-sekejap berkerut seribu memandangnya dan yang paling penting dia tidak mahu memusnahkan malam yang begitu indah bersama Adibah. Buat seketika biarlah dia merasa semua itu. Entah esok entah lusa, Adibah mungkin bukan miliknya lagi.




No comments:

Post a Comment