Tuesday, February 9, 2010

Biarlah Cinta Berlagu Di hati - 28

"Kenapa ni Adi?" Soal Kak Ijah yang tiba-tiba muncul menatang dua mangkuk bubur kacang. Harum aroma bubur kacang berlari-lari masuk ke rongga hidungnya.

"Sejak balik dari hospital tadi akak tengok Adi dok menung je. Kenapa? Keadaan Lutfi masih teruk ke?"

"Taklah kak! Lutfi dah makin elok. Sup yang Adi masak pun habis dia kerjakan!" Kak Ijah mengekek ketawa. Hampir-hampir bubur kacang di dalam mulutnya hendak tersembur keluar.

"Adi ni! Nak buat lawak pun janganlah time tengah makan!" Tangannya cepat-cepat mencapai sehelai tisu. Bibirnya yang basah dilap dengan cermat.

Hum! Keluhnya perlahan.

"Mengeluh pulak dia! Kalau ada masalah, ceritalah dengan akak"

"Entahlah kak! Tak tahu macam mana Adi nak mulakan" Cincin belah rotan yang tersarung dijarinya, dipusing berkali-kali.

"Pasal Mi dengan Lutfi ke?" Adibah mengangguk perlahan.

"Dah buat keputusan?" Adibah mengeleng pula.

"Adi suka siapa sebenarnya?"

"Entah!"

"Laaa.... Hati sendiri pun tak tahu suka siapa?"

Adibah tersengeh.

"Masalahnya kak, dua-dua lelaki tu dah ada teman masing-masing. Kalau ikut logiknya, Adi tak perlu buat apa-apa keputusan atau pun pilihankan?" Kak Ijah terdiam. Betul juga tu!

"Tadi, Hazmi ada datang" Mata Adibah mencerlang serta merta. Wajah Kak Ijah direnung tanpa berkelip.

"Dia datang buat apa?"

"Nak tengok Adi katanya. Dia bimbang Adi sakit. Dia kirim salam" Adibah terdiam. Buat apa nak tengok dia lagi!

"Alamak! Lupa puia akak. Dia kata, dia bercuti sebulan. Kalau ada apa-apa dia suruh Adi call dia" Sebulan? Ke mana? Takkan merajuk pulak kot? Patutnya akulah yang merajuk.

"Nak ke mana puiak tu? Bubur ni tak berjamah pun lagi" Ujar Kak Ijah tatkala melihat Adibah yang tiba-tiba bangun menuju ke tingkat atas.

"Kenyang! Akak letak dalam freeze lah. Nanti Adi makan!" Kak Ijah mengeleng-ngelengkan kepalanya. Makin kuruslah nampak gayanya anak dara tu! Asyik kenyang memanjang!

Telefon bimbit di tepi bantalnya, dicapai cepat-cepat. Tangannya ligat menekan nombor telefon Hazmi. Lama menanti Adibah digamit resah.

"Hello!" Suara seorang perempuan menjawab panggilannya. Adibah terduduk di birai katil.

"Hello! Nak cakap dengan siapa?" Suara itu berbunyi lagi.

"Haz... Hazmi ada?" Suaranya mula tersangkut.

"Siapa ni?"

"Saya Adibah!" Suara ditalian tiba-tiba sunyi. Cuma terdengar bunyi dengus nafas.

"Errrrr.... Adi ye. Hazmi tak ada, dia pergi bilik air. Kami kat airport ni kejap lagi nak berlepas ke Langkawi." Langkawi? Berdua dengan perempuan tu? Mesti Sofia!

"Kalau macam tu tak apalah!" Adibah segera mematikan talian. Telefon bimbitnya dicampak ke tepi. Marahnya bagaikan tidak bertepi. Dan ternyata Hazmi yang memberi jawapan untuk keputusannya!

"Jom!" Ujar Hazmi sambil tangannya mula menarik bagasi baju yang terletak di hujung kaki Sofia. Namun gadis itu hanya membatu, tunduk merenung lantai yang sudah bercalar balak dek sepatu orang yang lalu lalang.

"Kenapa ni? Jomlah! Nanti kita terlepas flight pulak" Hazmi masih berdiri tegak memandang gadis itu yang masih menundukkan wajahnya.

"Adi ada call tadi" Suaranya seakan berbisik. Kepalanya diangkat perlahan-lahan mencari-cari riak di wajah Hazmi.

"Apa dia cakap?" Bicara Hazmi sedikit mendatar cuba menahan intonasi suaranya agar kegugupan di dada tidak ketara.

"Tak ada apa-apa. Dia cari Mi. Pastu Sofi cakap kita nak pergi Langkawi"

"Lepas tu,apa Adi jawab" Nada suaranya makin tidak teratur. Resah.

"Dia terus letak phone!" Hazmi terdiam. Bagasi baju ditangannya diletak ke lantai perlahan-lahan. "Kalau Mi nak cancel cuti kita ke Langkawi ni, Sofi tak kisah. Sofi faham!" Ayat itu yang dia tidak tahan mendengarnya. Sofi tak kisah. Sofi faham; ayat-ayat itu tatkala menyapa gegendang telinganya, memberi makna yang berlawanan; gadis cacat macam Sofi ni siapalah yang suka, sekadar menyusahkan; peliknya! Maksud itu pula yang berputar di mindanya.

"Mi dah janji kan? U can keep my words!" Tangan Sofia diraihnya, membantu gadis itu untuk berdiri. "Sofi tak nak menjadi penghalang hubungan antara Mi dan Adi biar pun Sofi masih cintakan Mi" Tangan Sofia terlerai dari genggamannya

"Mi dah kata pada Sofi kan? Mi tak nak kita bincang pasal hati dan perasaan lagi. Kita sekarang tak ubah seperti sahabat baik"

"Maaf! Perasaan Sofi tak dapat diubah lagi lebih-lebih lagi bila Mi sentiasa berada disamping Sofi. Rasa cinta itu tak mungkin hilang!" Sofia mula menangis. Dia kembali melabuhkan punggung pada deretan kerusi berwarna biru itu.

Hazmi mula serba salah. Sungguh! Demi Allah, aku tidak mencintai gadis itu lagi! Namun kerana janji yang telah dibuat, maka dia gagahkan juga berdiri di samping Sofia. "Janji mesti ditepati!" Kata-kata arwah ayah masih diingat sehingga sekarang.

"Sofi......Mi dah janji...."

"Janji? Balik-balik perkataan tu yang Mi cakap! Sofi dah bosan dengar!"Pintas Sofia laju. Mukanya mula merona merah akibat tangisan dan perasaan marah yang ditahan.

"Sofi tak nak pergi! Hantarkan Sofi balik!" Dia menambah lagi bila melihat Hazmi yang sekadar membatu tanpa kata.

"Nanti papa dan mama Sofi bising! Mi minta maaf ok!" Bahu Sofia diusap lembut. Rambut panjang yang terhurai itu dikais perlahan ke tepi telinga.

"Huh! Mi hanya bimbangkan mama dan papa Sofi. Mi lebih takut kalau dia orang marah tapi Mi lansung tak fikirkan keadaan dan perasaan Sofi. Sofi jadi macam ni sebab Mi tahu tak?!" Bentak gadis itu geram. Nafasnya mula turun naik seiring dengan tangisannya yang masih berlagu.

Hazmi mengetap bibir bawahnya berkali-kali. Cuba menyabarkan hatinya.

"Sofi nak balik!" Sofia bingkas bangun. Dan tanpa menanti jawapan selanjutnya, dia terus berjalan tanpa menoleh. Cukuplah! Dia tidak mahu lagi begini. Hazmi sekadar patung boneka tatkala disisinya. Sekadar menurut kehendak dan perintahnya tanpa perasaan.

"Sofi!" Jeritan Hazmi dibiarkan tenggelam dalam hiruk pikuk suara manusia. Langkahnya meskipun tempang, terus diatur dengan laju.



No comments:

Post a Comment