Tuesday, February 9, 2010

Biar Cinta Berlagu di Hati - 35

Afnan menggenggam erat tangan emaknya. Wanita tua itu masih terhinggut-hinggut menangis. "Sabarlah mak…" Ayat itu entah berapa kali keluar dari mulutnya namun emak masih sama. Menangis dan terus menangis. Afnan mengalihkan pandangannya ke arah lain, Mak Ucu juga lebih kurang seperti emak cuma wanita itu tidak lagi menangis, mungkin air matanya sudah kering. Seminggu Hazmi koma ditambah pula dengan kakaknya yang masih dirawat di ICU. Nafas berat dilepaskan.

"Afnan!" Kepalanya cepat-cepat di dongak ke atas. Lutfi sudah tercegat di depan matanya. "Macam mana boleh jadi macam ni?"

"Entahlah abang Lut! Bas yang along naik kemalangan petang semalam. Tapi kecederaan along yang paling teruk." Lutfi mengetap bibir menahan nafas.

"Apa doktor cakap?" Wajah Afnan yang sugul itu ditatap dalam-dalam. Namun anak muda itu sekadar menggelengkan kepalanya. Lutfi meraup kedua tangan ke mukanya. Inikah yang di namakan takdir? Hazmi dan Adibah sama-sama berada dalam keadaan tenat. Atau keduanya tak sepatut dipisahkan?

Matanya yang baru terbuka dipejamkannya kembali. Pedih! Hazmi menggosok matanya perlahan-lahan. Cahaya matahari yang menyilau masuk melalui celah-celah langsir agak memeritkan pandangannya. Dia cuba pula untuk bangun namun terbaring kembali. Lemah! Segala pergerakkan dirasakan tidak bermaya.

"Abang long!" Suara lembut Hayati memukul cuping telinganya. Mata Hayati kelihatan merah membengkak. Menangis? Kenapa adik kesayangannya itu menangis? Apa yang sebenar telah terjadi padanya? Hazmi mengerutkan keningnya beberapa kali. Bingung memikirkan perkara lepas yang dia tidak ingat.

Bersusah payah Hazmi menyandarkan tubuhnya di kepala katil. Sesekali dia menyeringai menahan rasa sakit yang masih bersisa.

"Kenapa Yati menangis? Mana ibu?" Soal Hazmi satu persatu. Gadis manis berambut ikal itu menguntum senyum. Syukur! "Abang long koma hampir 2 minggu lamanya. Ibu ada kat rumah. Yati suruh ibu balik. Setiap hari, seharian ibu menjaga abang long." Jari jemari Hazmi digenggamnya penuh erat.

"Macam mana abang long boleh ada kat sini?"

"Abang long tak ingat?" Hazmi menggeleng kepala beberapa kali.

"Ada orang pukul abang long 2 minggu yang lepas. Nasib ada orang yang nampak dan cepat di bawa ke hospital, kalau tidak........." Ayat Hayati tergantung tiba-tiba. Takut untuk membayangkan segala kemungkinan.

Hazmi menundukkan kepalanya. Matanya merenung lama selimut putih yang menutupi sebahagian dari tubuhnya. Ya! Baru dia teringat pada lelaki bergigi rongak itu. Lelaki itu yang banyak menghentam tiap inci tubuhnya. Tiba-tiba rasa marah mula menguap di jiwanya.

"Eh? Abang long nak ke mana ni?" Hayati terpinga-pinga melihat tingkah Hazmi yang kelam kabut bangun cuba menuruni katilnya.

"Abang long nak cari orang yang pukul tu. Dia mesti rasa balik apa yang abang long rasa!" Keras suara Hazmi. Hayati menarik nafasnya. Sesak melihat Hazmi yang berdegil dengan keputusannya. "Tak payahlah abang long. Yati dengan ibu dah buat report polis. Lagi pun abang long pun belum sembuh. Tengok! Abang long nak bangun pun payah, inikan pulak nak pukul orang!" Hazmi yang baru bergerak ke muka pintu terhenti langkahnya.

"Abang long tak peduli! Lelaki tu dah belasah abang long dengan teruk. Mujur umur abang long masih panjang!"

"Sudahlah tu abang long. Jangan diseksa diri tu lagi! Lebih baik abang long pergi jenguk Kak Adi!" Suara Hayati hampir menjerit. Geram melihat Hazmi yang keras kepala. Lelaki, semua macam tu ke? Masing-masing nak tunjuk hero?

Langkah Hazmi terhenti lagi. "Kenapa dengan Adi?" Wajah Hayati direnung tanpa berkelip. "Kak Adi kemalangan masa perjalanan ke sini. Dia datang sebab nak jenguk abang long tapi bas yang dia naik terbabas ke dalam gaung." Nafas Hazmi tiba-tiba sesak. Dia tiba-tiba terduduk ke lantai. Tangannya mengurut dada berkali-kali.

"Abang long!" Hayati segera menerpa ke arah Hazmi yang masih terduduk di lantai. "Abang long!" Jeritnya lagi tatkala melihat Hazmi yang terdiam tanpa sebarang reaksi.

Adibah! Aku bertahan terus hidup kerana dia! Aku mampu bangun kerana dia! Jangan dia hilang dari aku untuk kedua kalinya! Hazmi memejamkan matanya rapat-rapat. Rasa perit tatkala matanya dipejamkan dan suara Hayati yang bertalu-talu memanggil namanya, sengaja dibiarkan sepi.




No comments:

Post a Comment