Tuesday, February 9, 2010

Biar Cinta Berlagu Di Hati - 26

Hazmi yang duduk agak jauh, sekadar memerhati. Namun percakapan doktor tersebut masih dapat ditangkap dengan jelas oleh telinganya.

"Yana, maafkan saya....." Adibah bersuara sayu.

"No way!" Tegas suara Yana menolak.

"Saya benar-benar tak sangka Lutfi akan jadi begini" Lirih suara Adibah.

"Dia tunang aku dan engkau pun dah ada tunang. Kenapa masih cari dia?"

Diam.

"Pasal nak selamatkan engkau, Lutfi pula jadi mangsa. Dia sepatut biarkan saja engkau diganggu lelaki-lelaki gila tu!"

"Sudah!" Yana dan Adibah sama-sama tersentak.

"Adi! Jom balik!" Tangan Adibah diraih tanpa menunggu persetujuan gadis itu. Terkedek-kedek langkah Adibah mengikut Hazmi yang mengheretnya dengan laju.

"Lepaskan Adi!" Hazmi memekakkan telingannya. Langkahnya masih sama. Laju mengheret Adibah yang berada di belakangnya.

"Lepaskanlah Adi! Kesian lah pada Adi! Adi dah tak larat nak macam ni lagi!" Langkah Hazmi mati serta merta. Rayuan Adibah menikam hatinya.

"Adi pergi mana dengan Lutfi?"

"Kenapa abang nak tahu?" Hazmi mendengus geram. Tin minuman yang berada di hujung kakinya, disepak dengan kasar. Berdetum bunyinya sebaik tin minuman itu berlaga dengan besi di tepi jalan tersebut.

Adibah tergamam. Tidak pernah melihat Hazmi bersikap kasar seperti itu. Selama ini, lelaki itu sentiasa tenang di matanya.

"Abang ada hak nak tahu! Adi kan tunang abang" Suara Hazmi sedikit menjerit.

Adibah tersenyum sinis. "Kalau macam tu, Adi pun nak tahu, apa abang buat malam tadi?" Dia mula berani melawan. Bukan salahnya. Hazmi yang mula berkasar!

"Bukan ke abang dah kata, abang ada meeting dengan client!"

"Client? Huh! Lucu! Pelik pun ada. Client abang tu Si Sofia. Meeting abang pula di rumahnya. Sedap menjamu selera sampai lupa janji abang dengan Adi!"

Hazmi terdiam. Mati kata untuk menjawab. Jadi, memang benarlah telahannya mengenai kelibat manusia yang dilihat di depan rumah Sofia malam tadi.

"I'm sorry!" Meluncur kata-kata itu di bibirnya.

"Jangan minta maaf denga Adi tapi minta maaf dengan Lutfi! Sebab nak selamatkan Adi dia yang jadi mangsa. Dan abang juga patut berterima kasih, sebab dialah tunang abang ni masih suci!" Jerit Adibah geram. Dia terus mengatur langkah meninggalkan Hazmi yang terkebil-kebil di situ.

Huh! Baru padan dengan muka!

Hazmi tersandar di keretanya. Jari jemarinya mula memicit kepala yang mula terasa sakit. Adibah! Kalaulah semua ini mudah dijelas dengan kata, dalam nyanyian akan abang ceritakan padamu. Kalaulah bebanan ini boleh dipindah bahu, sudah lama abang serahkan kepada orang lain! Maafkan abang!

Hazmi mendongak ke atas. Terasa titik-titik air yang mula mengenai pipi dan kepalanya. "Hujan!" Desisnya perlahan. Hujan di awal subuh! Rahmat Allah di waktu pagi. Maka ya Allah, rahmatilah aku! Hati ini makin sukar untuk kehilangan Adibah!

Adibah merebahkan tubuhnya ke atas katil. Letihnya! Malam yang panjang, begitu menyesakkannya.

Matanya terkelip-kelip merenung siling. Kosong!

Adibah menoleh ke kiri, memandang telefon bimbitnya yang mula bergegar. Lagu nyanyian Gareth Gates yang beralun dibiarkan sepi begitu sahaja. Hari ini dia tidak mahu ke tempat kerja. Sebaik kaki menjejak ke rumah, sudah ditelefon kepada Rosmah, memaklumkan yang dia mengambil emergency leave.

Lagu nyanyian Gareth Gates berkumandang lagi. Biarpun merdu beralun namun tidak menarik minatnya untuk menjawab. Deringan itu dibiarkan begitu sahaja.

"Hish! Sapalah yang tak reti bahasa ni!" Adibah mendengus geram. Kali ke tiga telefon bimbitnya berlagu lagi. Dia cuba memekakkan telinganya namun sia-sia, deringan itu masih terus berlagu.

"HELLO!!!!" Adibah menjerit kuat. Biar padan dengan orang yang tak reti bahasa tu. Biar telinganya pekak mendengar jeritan aku!

"Assalamualaikum. Adi....." Adibah terdiam menggigit bibirnya tatkala suara lembut Hazmi menyapa gegendang telinganya. Adoi! Salah sendiri tidak melihat nama Si Pemanggil. Buta-buta Hazmi menerima jeritannya. Meskipun dia masih marah dengan Hazmi namun tidaklah hingga sanggup menengkingnya sebegitu rupa.

"Adi......." Mendengar tiada jawapan, Hazmi memanggil lagi.

"Waalaikumsalam. Maaf Adi ingatkan siapa tadi"

"Tak apa. Abang yang patut minta maafkan?" Sunyi. Diam tidak berjawab.

"Adi...." Dada Adibah bergetar. Suara lembut Hazmi meruntun jiwanya. Tembok marah yang terbina buat lelaki itu sejak malam tadi bergegar hebat!

"Adi.... Abang nak jumpa Adi. Boleh?"

"Lain kalilah! Adi penat! Letih sangat badan ni. Adi nak rehat." Tangannya meraba-raba hujung bantal berwarna kuning cair itu. Bucu bantal itu dipintal berkali-kali. Resah!

"Please.... Sekejap je! Abang dah ada kat bawah ni. Adi turun ye" Hazmi masih memujuk.

"Adi...." Diam.

"Atau Adi nak abang naik ke bilik?"

"Eh? Jangan! Jangan! Oklah! Adi turun sekarang tapi sekejap je!" Cepat-cepat dia memintas.

Tudung berwarna putih yang terletak di atas meja tulisnya, dicapai laju. Kelam kabut menuruni anak tangga. Bimbang jikalau Hazmi bersungguh dengan kata-katanya.

Hazmi tersenyum lega melihat kelibat Adibah di muka pintu. Wajah comel itu kelihatan pucat tidak bermaya. Kesian Adibah! Abang minta maaf!

"Terima kasih! Abang janji takkan ambil masa yang lama" Gadis itu sekadar mengangguk.

"Abang minta maaf Adi"

"Dah lah tu! Dah banyak kali abang minta maaf. Letih Adi dengar!"

Hazmi tersenyum lembut. "Selagi Adi tak maafkan abang, abang takkan jemu untuk meminta maaf. Maafkan abang!"

Adibah terdiam. Meramas-ramas jari jemarinya. Nak maafkan ke? Dia tipu aku! Sebab dia Lutfi jadi macam tu! Sebab dia aku hampir-hampir hilang maruah!

"Adi....." Aduh! Lemah segala urat sendi mendengar panggilan selembut itu. Janganlah! Aku wanita! Keras aku umpama kerak nasi, jangan disimbah air yang banyak nanti lembut aku jadinya!

"Apa alasan abang untuk Adi maafkan abang?" Kali ini Hazmi pula terdiam . Kedua tangannya diraup ke muka. Seketika kemudian tangannya singgah pula di kepala, mengusap perlahan rambutnya yang dipotong kemas.

Adibah memerhati segala tingkah Hazmi. Masih menanti jawapan lelaki itu. Matanya menyoroti tubuh Hazmi. Lengan kemeja biru tuanya sudah tersinsing hingga ke siku. Rasanya, itu kemeja yang sama dipakai Hazmi di hospital tadi. Mungkin Hazmi tidak balik ke rumah dan terus singgah ke rumahnya. Hazmi tetap kacak biarpun dalam keadaan yang tidak terurus. Heh! Dalam marah dan geram, masih sempat lagi memuji.

"Abang tak ada alasan!" Adibah tersentak. Anak mata Hazmi yang hitam pekat itu direnung dalam-dalam. Tak ada alasan! Amboi, mudahnya!

Huh! "Kalau macam tu, Adi pun tak ada alasan nak maafkan abang!" Geram. Kakinya dihentak ke tanah sebelum berlalu pergi.

"Apa ni abang?" Adibah menjerit geram. Terkejut melihat tingkah Hazmi yang tiba-tiba berdiri di muka pintu menghalangnya untuk masuk ke dalam.

"Adi...... Tolonglah! Jangan macam ni. Janganlah pergi"

"Abang tak nak Adi pergi tapi sikap abang tu memaksa Adi untuk pergi. Dah! TEPI!!!" Tubuh Hazmi yang menghadang jalannya ditolak dengan kasar. Namun sia-sia. Tubuh sasa itu masih tegak terpacak menghalangnya dari masuk.

"Abang nak apa lagI?" Adibah akhirnya terduduk dan menangis. Dia rasa terlalu letih. Rasa makin tidak berdaya. Janganlah memberi hukuman ke atas kesalahan yang bukan dia lakukan. Bukan dia meminta Lutfi menyukainya, bukan dia meminta Hazmi meminangnya meskipun dia suka. Bukan dia yang meminta! Tangisan Adibah makin deras.

"Adi....." Hazmi juga ikut duduk di sisi Adibah.

"Maafkan abang!" Huh! Maaf lagi? Kata-kata maaf itu terlalu mudah bagi lelaki itu. Bagaikan air sungai, tidak henti-henti mengalir di telinganya, namun sayang ucapan maaf ku tidak seperti itu!

"Abang dan Sofia tak ada apa-apa hubungan tapi abang memang tak boleh tinggalkan dia" Tangisan Adibah terhenti. Kepalanya didongak ke atas, merenung Hazmi dengan pandangan berkaca.Aku tak faham?

"Kalau boleh, memang abang nak jelaskan pada Adi, pada ibu malah pada Lutfi juga. Tapi....... Abang tak boleh buat macam tu!" Hazmi meraup mukanya perlahan-lahan. Bagaimana hendak menyusun kata agar Adibah dapat memahami apa sebenarnya.

"Adi......"

Hazmi menarik nafasnya dalam. Kesian Adibah, mengenali abang sekadar mengundang tangisan mu.! Maafkan abang! Andai perkara yang lalu boleh diputar semula, abang pasti Adi takkan menangis begini.

"Adi..... Abang tak mahu Adi terus bersedih. Abang ingin bahagiakan Adi tapi kemampuan abang terbatas....... segala keputusan, abang letak di tangan Adi" Adibah tergamam. Jari jemarinya digenggam erat.

Dia nak aku buat keputusan? Keputusan apa? Memilih meneruskan pertunangan ini atau memutuskannya, mungkin! Kenapa macam ni? Bukankah mudah kalau dia yang membuat keputusan. Tidak suka, kata tidak suka! Kalau suka janganlah berteka teki macam ni! Air matanya merembes kembali.

Adibah terus bangkit, melari masuk ke dalam rumah dengan kesedihan yang sarat di hati...


No comments:

Post a Comment