Wednesday, February 10, 2010

Badai Pasti Berlalu - 3

Iman terlewat hampir setengah jam ke tempat kerja. Mujur Kak Seri pemilik café tempat dia bekerja ini seorang yang baik hati dan bertimbang rasa. Inilah dunia Iman semenjak hampir 6 tahun yang lalu. Setia bekerja di bakeri milik kat Seri. Café ini bagaikan rumah kedua bagi dirinya, hati seorang Iman akan lembut beralun, fikirannya tenang dalam kedamaian, wajahnya ceria, dirinya gembira di saat memijakkan kaki ke tempat itu. Setiap derap langkah melontar jauh rasa gundah yang merantai di hatinya. Kerenah dan kemesraan pekerja di sini membuatkan dia lupa akan segala kesedihan yang setiap kali mengekori dirinya dari rumah.

“Aiks, lambat Kak Aina datang hari ni, kenapa?” Laju saja Sufi bertanya sebaik ternampak wajah Iman di muka pintu cafe.

“Biasalah ada hal sikit kat rumah tadi. Lagipun hujan kat tengah jalan, tu yang lambat” Iman beralasan.

“Oh…ingatkan akak pergi dating tadi”

“Manalah akak ni ada pakwe Sufi, rupa tak ada lagikan pula harta, nak jeling pun orang tak sudi” Iman tersenyum memandang Sufi, gadis lepasan STPM yang baru saja bekerja di Seri’s Bakery N Café ini.

“Eh, siapa kata akak tak lawa. Sekali imbas macam Norjuma tapi.. versi tak pakai tudunglah, comel apa. Akak tu aje yang jual mahal kot”

“Hah iyelah tu Sufi. Kalau akak jual murah, sepuluh kali imbas pun belum tentu ada orang nak beli” Sufi tergelak besar sebelum dia menghilangkan diri ke belakang.

“Eh, saya nak beli akak boleh?” Tiba-tiba Fahmi menjerit agak kuat. Remaja sebaya Sufi itu walau sedang mengelap meja masih sempat mendengar perbualannya dan Sufi sebentar tadi.

“Hello En. Fahmi, awak tu belum cukup umur lagi. Result STPM pun belum tahu, ada hati nak kat anak dara orang eh”

“Alah akak ni, kasilah saya can. Teringin jugak saya nak jadi pakwe akak”

“Ok, sepuluh ribu boleh?”

“Awat mahal sangat kak, manalah saya nak cari duit banyak tu”

“Lor, orang dah bagi can tak nak pulak, terpaksalah akak offer kat orang lain” Iman ketawa gelihati. Fahmi menggaru kepala memandang ke arahnya. Seketika, Iman terpandang kelibat seorang lelaki di luar cermin yang sedang leka memandang ke dalam café. Apabila mata mereka bertembung, dia sempat memberikan seulas senyuman sebelum berlalu.

Iman leka membuat kerja di dalam pejabat kecil yang terletak di tengah antara ruang depan dan dapur café. Sudah hampir 3 tahun dia dilantik oleh Kak Seri untuk menguruskan akaun dan hal-hal pengurusan di café milik wanita itu. Sebelum ini Iman bekerja di bahagian dapur, kemudian menjadi juruwang sebelum menguruskan bahagian akaun. Iman amat berterima kasih kerana telah diberikan kepercayaan oleh Kak Seri. Kak Seri juga menghantar dia ke kelas akaun memandangkan dirinya memang tiada asas di dalam bidang itu. Semasa di sekolah menengah dia mengambil aliran sains tulen dan tidak pula mengambil subjek prinsip akaun sebagaimana beberapa rakan sekelasnya. Kini, dia boleh di katakan arif juga mengenai hal-hal yang berkaitan dengan dunia perakaunan dan pengurusan kakitangan tapi tidaklah sehebat orang lain. Dia bersyukur di kurniakan bos yang sebaik Kak Seri, wanita itu tidak pernah menyekat malah sentiasa memberikan peluang kepada orang lain. Setiap kejayaan dan kelebihan wanita itu turut di kongsi bersama dengan para pekerjanya.

“Kak Aina, nak ikut kita orang keluar makan?” Tanya Saiful di sebalik pintu. Kelihatan Sufi, Fahmi dan Mira di belakangnya.

“Tak mengapalah, akak masih kenyang. Kamu semua pergilah. Kak Milah pergi juga ke?”

“Tak, makcik tu jaga badan agaknya. Nak jadi macam Ziana Zain kot” Fahmi menjawab pantas. Anak muda itu memang suka bergurau.

“Pandailah awak Fahmi. Sudah pergi cepat nanti terlewat balik pulak” Arah Iman seraya melangkah keluar mendapatkan Kak Milah di bahagian belakang café.

“Tak nak pesan apa-apa?” Dia hanya menggeleng kepala menjawab pertanyaan Mira.

“Kak Milah, hari ni biar Aina tolong akak buat pai ayam. Ok?”

“Alah tak payahlah Aina. Akak boleh buat. Kamukan ada kerja lain”

“Aina nak buat jugak. Lagipun bukan Aina tak biasa. Dulu inilah kerja Aina kak, tepung dan inti sudah sebati dengan diri Aina kak” Iman memberi alasan, sebuah hakikat hidupnya.

“Ok, suka hati kamu lah Aina. Buat sedap-sedap tau, yang macam selalu tu”

“Ok, set Cik Puan Milah” Sahut Iman, sengaja ingin bergurau dengan wanita itu. Satu cubitan hingap di lengannya sebaik Kak Milah menghulurkan bahan-bahan untuk membuat pai ayam.

Iman leka menyediakan ramuan pai ayam. Jika mempunyai kelapangan pasti dia akan mengambil peluang untuk membantu Kak Milah, menyediakan sesuatu, semuanya sudah mempunyai sukatan, dia hanya perlu membancuhnya saja. Kak Milah pula sedang duduk memerhatikannya sambil menunggu kek yang dibakarnya masak. Tengah hari begini pelanggan agak kurang berbanding pada waktu pagi dan petang. Siapalah yang hendak makan roti dan kek pada waktu tengah hari walaupun kami turut menerima tempahan makanan sampingan lain di café ini. Orang Malaysia biasanya akan mencari nasi walau di mana mereka berada untuk santapan tengah hari ataupun malam. Dia sendiri pun begitu juga. Sehari tidak bertemu nasi dirasa bagaikan ada yang tidak kena dengan perut, tidak lengkap putaran hidupnya. Mujur juga badannya bukan jenis yang cepat naik.

“Aina, ibu kamu sihat?” Tiba-tiba Kak Milah bertanya.

“Erm, alhamdulillah sihat kak, cuma ibu sibuk sikit kebelakangan ni, banyak tempahan. Kenapa kak?”

“Saja akak tanya, lama tak nampak dia. Ibu kamu masih seperti dulu lagi dengan kamu Aina?” Pertanyaan Kak Milah di biarkan sepi. Tiba-tiba hatinya tersentuh.

“Banyakkan bersabar ya Aina, semuanya pasti akan berakhir dengan baik. Percaya cakap Kak Milah ni” Kak Milah menepuk bahunya perlahan. Iman meneruskan membuat lapisan pai, cermat dia memasukkan lapisan pai itu ke dalam mangkuk acuan. Setelah siap dia meninggalkan pai-pai itu kepada Kak Milah untuk membakarnya.



No comments:

Post a Comment