Wednesday, February 10, 2010

Badai Pasti Berlalu - 2

“Abah, maafkan Iman. Iman sayang abah” Iman membisik perlahan bila tiba gilirannya mengadap abah yang terlantar sakit di atas katil. Sebuah ciuman kudus menyapa wajah lelaki itu. Abah hanya tersenyum kecil, mengerdip perlahan matanya memandang wajah polos Iman yang berdiri di sisi katil.

“Aina, jadi anak yang baik, jaga ibu ya sayang” Abah berkata perlahan. Pertama kali semenjak kecil ayah memanggil namanya Aina. Sungguh! Iman terharu, panggilan itu meninggalkan kesan yang sangat mendalam ke dalam dirinya. Bagaikan ada makna yang tersirat di sebalik panggilan terakhir itu.

“Selamat tinggal sayang” Ucapan abah yang terakhir sebelum pergi meninggalkan kami sekeluarga. Iman segera berundur kebelakang, seakan tidak percaya orang yang dia sayangi telah pergi buat selama-lamanya.

“Abang……” Ibu meraung, disertai tangisan hiba Kak Ain dan Irma. Iman hanya mampu tersandar lemah di dinding bilik, buat seketika dia seakan terpana.

“Ini semua salah kau Aina, kalau tidak kerana kedegilan kau, abah tak akan pergi meninggalkan ibu” Tiba-tiba terdengar jeritan ibu memecah keheningan malam.

“Anak tak guna! Anak derhaka! Pergi kau dari sini!” Ibu menjerit ke arah Iman. Matanya mencerlung merah.

“Maafkan Aina bu” Iman bersuara perlahan, dia sudah mula membahasakan dirinya dengan nama yang dulunya dia sendiri tidak sukai. Kak Ain dan Irma melontarkan jelingan tajam kepadanya. Lambat-lambat Iman melangkah keluar, menyembunyikan diri di dalam bilik.

Jiran tetangga mula memenuhi ruang dan halaman rumah. Semenjak malam, jiran dan sedara-mara tidak berhenti melawat jenazah abah yang akan di kebumikan sebelum zuhur. Iman masih setia duduk bersimpuh di sebelah jenazah abahnya di ruang tamu. Airmatanya bagaikan sudah kering, dia sudah puas menangis semalaman. Hati kecilnya begitu sedih mengenangkan diri yang kini sudah jauh tersisih dari keluarga sendiri, terutamanya ibu. Wanita itu semenjak abah terlantar sakit seakan cuba menjauhi dirinya. Jarang sekali sinar kasih terpancar di mata ibu di saat menatap wajahnya. Saat ini, sinar itu langsung tidak terbias, yang ada hanya renungan tajam yang mengecutkan hati Iman. Walaupun masih kecil, namun Iman amat mengerti makna yang tersirat di sebalik renungan tajam itu. Ibu membenci dirinya.

“Iman, takziah” Sebaris ayat keluar dari seorang budak lelaki yang sangat dia kenali. Sekilas Iman menoleh ke wajah budak itu beserta seulas senyuman pahit.

“Iman sudah pergi Ziq. Iman pergi bersama abah” Lirih suaranya saat menuturkan sebaris ayat itu. Entah mengapa, Iman merasakan dirinya kini kosong, semalam dan hari ini dia bagaikan dua manusia yang berbeza. Dia seakan tidak percaya!

“Selepas ini kau pula pergi tinggalkan aku kan?” Iman bersuara perlahan namun matanya memandang kosong ke arah beberapa lelaki yang sedang mengusung keranda abah menuju ke tanah perkuburan. Kakinya begitu berat untuk turut sama mengiring abah ke tempat persemadian itu. Biarlah dia di rumah ini, Iman sekadar menghantar pemergian abahnya dari jauh.

“Aku akan tetap ingatkan kau sebagai kawan aku yang terbaik Iman. Jaga diri ok” Iman hanya mampu mengangguk perlahan mendengar pesanan dari rakan sepermainannya itu sebelum berlalu ke dalam rumah.

Kini, siapa lagi yang akan Iman ada. Abah orang yang dia sayangi telah pergi, Haziq, satu-satunya kawan rapatnya juga akan mengikut ibu bapanya berpindah ke Kuala Lumpur. Iman tidak mempunyai datuk dan nenek tempat bermanja. Abah, anak yatim piatu sedari kecil manakala ibu pula berasal dari selatan Siam. Dia tidak pernah tahu akan keluarga ibu. Kini, kami hanya tinggal berempat di taman perumahan kerajaan di pinggir bandar Johor Bahru. Iman tidak mempunyai kawan yang ramai di sini terutamanya kawan perempuan. Mungkinkah selepas ini akan ada dahan tempat untuk dia berpaut, akan adakah insan yang sudi mengusir kesedihan dan kesepian yang mula bertamu di dalam hidupnya ini. Atau, sememangnya hakikat anak kecil seperti dia ini hanya perlu mengikut arus kehidupan, terusan membiarkan diri di bawa arus, dilambung ombak, ataupun di hempas badai. Kalau sudah begitu suratan hidupnya, maka Iman rela menempuhinya. Hanya satu yang di pohon, janganlah ibu menyingkirkan dirinya dari keluarga ini. Iman tidak dapat membayangkan jika perkara itu benar-benar berlaku kepada anak kecil sepertinya, kemana dia harus membawa diri?

No comments:

Post a Comment