Wednesday, February 10, 2010

Badai Pasti Berlalu - 1

Seorang gadis berambut lurus separas bahu begitu leka melayan perasaan tanpa menghiraukan senja yang hampir berlabuh. Gadis berbaju kurung merah bata itu begitu setia duduk di bawah pohon nyiur gading di tepi pantai Stulang itu. Panorama kota singa yang mula bermandi cahaya di seberang tidak menarik perhatiannya. Mata bundarnya tajam merenung lautan, memerhati bebuih ombak, bibir merahnya sesekali seakan bergerak mengeluarkan bicara, mungkin cuba menzahirkan apa yang ditafsirkan oleh mindanya, tercetus dari objek yang terbentang di depannya. Hatinya di pagut rasa sayu di bawah langit yang semakin menjingga itu.

Bukan sekali dua dia berada di situ, bukan baru hari ini bayu senja meyapu wajahnya. Bahkan, angin pantai inilah yang setia mengalunkan rambut halusnya. Entah mengapa setiap kali hatinya gundah, dia akan berada di sini. Bagaikan ada sesuatu yang mendorong dia untuk setia mengunjungi tempat ini. Hati dia tenang sekali jika dapat menyaksikan panorama senja di sini, matanya bagaikan sudah terbiasa dengan pukulan dan alunan ombak di pantai ini. Dia arif mentafsirkan makna yang tersirat di dalam setiap alunan badai yang menyapa tepian pantai ini. Dirinya juga bagaikan pasir pantai, tetap setia walau di hempas badai, kadangkala turut hanyut di bawa ke tengah laut, karam, tapi, akhirnya akan terdampar kembali ke tempat asalnya.

Hari ini genap 12 tahun insan yang paling dia sayangi pergi meninggalkan dirinya. Dia tidak pernah lupa tarikh yang meninggalkan kesan di hatinya ini. Saban tahun dia pasti akan meluangkan masa untuk mengunjungi pusara Mahmudiah dan diakhir langkahnya pasti ke pantai ini. Kenangan lama itu sukar untuk dia pisahkan dari fikirannya, memori pahit itu begitu jitu dalam jiwanya. Sudah menjadi kebiasaan bagi dirinya untuk terus mengimbau hari yang penuh bersejarah itu, sejarah kedukaan dia sebagai anak yang kehilangan, anak yang mula ketandusan kasih sayang.

Dirinya sentiasa di cengkam kenangan lama. Dia kadangkala bosan, namun dia memerlukan kenangan itu untuk dirinya hari ini. Tanpa kenangan itu sudah pasti dirinya sudah lama kehilangan arah hidup. Dia terus bernafas untuk satu janji, jasadnya segar berdiri juga untuk memenuhi janji itu. Azam dan impiannya tidak pernah luntur untuk mengejar impian hidupnya, sekalian berterusan mengotakan janji yang tiada titik pengakhiran itu. Dan kalau bukan kerana janji itupun, dia pasti akan tetap hidup untuk insan yang dia sayangi, melaksanakan tanggungjawab yang sememangnya terletak di bahu setiap insan yang di lahirkan di dunia ini. Dia tidak memberikan apa-apa reaksi untuk sebuah janji itu namun, dia mula menanam niat untuk tidak melupakan kata-kata itu. Biarlah seribu dugaan dan halangan mendatang, dia akan setia berpihak dan menghambakan diri untuk sebuah janji itu.

Bahagia, musim itu sudah lama berlalu, musim indah itu bukan lagi milik dirinya. Kini, perkataan itu tidak membawa sebarang makna di dalam kehidupannya. Kebahagiaan hidupnya sudah lama pergi, hilang, lenyap bersama orang yang selama ini mencurahkan kebahagian kepada dirinya. Hidupnya kini hanya untuk kebahagiaan insan yang dia sayangi. Bahagia dirinya tidak dia pedulikan lagi. Bukan tidak pernah membahagiakan diri tapi, kerapkali usahanya kecundang di tengah jalan. Lalu, kini dia hanya pasrah mengikut keadaan dan putaran waktu. Sungguh! Dia gelisah setiap kali menanti embun pagi, hatinya gentar menghadapi pancaran matahari. Namun, dia redha jika itu memang bahagian yang telah tersurat untuknya oleh ilahi.

Sekali lagi, hati dan fikiran gadis itu tenggelam di bawa arus



No comments:

Post a Comment