Wednesday, February 24, 2010

Atira - 56

Langit cerah, awan melukiskan warna putih kapas pada latar biru yang terbentang menjadikan langsir alam itu bertebaran di tolak jari-jari angin yang tinggi cuba menyentuh mentari yang sedang mengintai sebuah kereta meluncur laju mengejar tujuan. Di dalam kereta, Daus atau Firdaus yang menjadi pemandu bersiul-siul riang, sesekali jelingan matanya menoleh, membelai wajah Ina yang berada di tempat penumpang hadapan. Hatinya penuh dengan kasih kudus buat gadis itu seketika sebelum matanya menatap cermin pandang belakang, Acik dan Fika sedang berbual-bual seperti berbisik seakan ada sesuatu yang mereka ceritakan sementara Aiman hanya memandang ke luar jendela, melihat sawah padi yang menemani perjalanan mereka dengan setia. Sahabatnya itu banyak berubah sejak pulang bercuti beberapa bulan lalu. Sikap Aiman yang sering menghiburkan masih ada, cuma lelaki itu kerap dilihatnya termenung jauh seakan ada sesuatu yang menganggu.

"auh menung Aiman" tegur Daus yang sedang menumpukan perhatian kepada jalan yang dilalui mereka memulakan perbualan untuk mengusir sunyi yang berirama di dalam kereta.

"Tak lah..kat tempat duduk belakang nih aja" jawab Aiman mendatar menyebabkan Fika dan Acik ketawa.

"Ya lah!ya lah kau tengok apa tu?" tanyanya kembali setelah diusik oleh Aiman.

"Aku tengok sawah padi. Tak sama ngan kampung aku. Kat kampung aku ada banyak tali air. Tapi kat sini aku nampak hanya petak-petak sawah aja" jawab Aiman, matanya masih menatap hujau sawah hingga ke kaki gunung itu berombak-ombak di tiup angin.

"Memang la tak sama Aiman. Kita nih kat mana" celah Fika. Ina yang sedang bertukar senyuman dengan Daus menoleh ke kiri, menatap sawah padi yang menyahut renungan gadis itu lembut.

"Aku tahu la, tapi teringat aja"

"Kampung kau kan ada laut dan pantai. Kat sana ada sawah juga erk" tanya Acik pula memanjangkan perbualan antara mereka berlima.

"Ada.. kat kampung aku semua ada. Ada laut, ada sawa ada ladang getah, ladang kelapa sawit, ladang gandum, ladang anggur, ladang emas, ladang "

"Dah.. jangan nak mengarut" suara Daus memotong kata-kata Aiman sebelum lelaki itu sempat menghabiskan percakapannya.

"Ala.. aku mengarut aja. Bukan mencarut. Wehhh.. bila nak sampai nih. Dah lenguh aku" sahut Aiman pula.

"Kejap la..baru aja bergerak. Mengikut maklumat yang di katakan oleh abang Malik, jarak tasik tu 60 km. baru aja lepas 37 km. Ha.. jalan pun dah mula memanjat bukit nih" kata Daus kepada mereka semua.

Aiman menoleh ke luar jendela, petak-petak sawah kini telah di gantikan dengan hujau hutan yang merimbun berdaun lebat. Batang-batang pohon yang berwarna putih berkulit licin yang tidak dikenalinya itu ditatap seketika sebelum tingkap pintu kereta di turunkan perlahan. Bayu panas menerjah masuk membawa haruman hutan itu ke hidungnya sementara telinganya dapat menangkap suara deruman air menerjah ke batu yang semakin kedengaran mengiringi perjalanan mereka menujuk ke puncak.

Towada Ko (tasik towada) yang menjadi salah satu dari tumpuan percutian musim panas di di utara tanah samurai itu menyambut kedatangan mereka dengan senyuman. Ombak yang seakan lautan itu menampar-nampar tebing tasik, menyebabkan tanah tinggi itu hangat dengan suara air menerjah ke tebing yang berselang selikan dengan suara air yang gugur berlaga ke batu dari air terjun yang berada di persekitaran. Aiman memandang ke tengah tasik, kagum dengan kebesaran Allah menciptakan segala kejadian, Towada Ko terbentang luas seperti lautan dan ombak yang datang ditolak angin di puncak gunung itu seperti gelombang menghempas ke pantai. Matanya menatap ke tengah tasik dengan takjub, permukaan tasik yang berkilau dipanah mentari musim panas itu berkabus menampakkan seakan ada pulau di tengah keluasan. Perlahan-lahan Aiman menutup matanya, mematikan pancaindra penglihatan itu buat seketika, deruman ombak di tepi tasik menusuk ke telinga dan nafas bayu tinggi yang hangat itu membelai-belai wajahnya, jiwanya kembali terbuka setelah hatinya mengucup suasana yang bukan seperti di puncak pergunungan tapi di tepian pantai saat tegur gelombang.

"Kirei desyou (indah kan)" satu suara menyapa menyebabkan Aiman kembali menoleh. Fika berdiri di belakangnya sama Acik, sementara Daus dan Ina berada tidak jauh dari mereka sedang bermain-mian dengan air.

"Yap.. indah dan mengesankan. Aku rasa seperti berada di tepi pantai, bukan di puncak pergunungan. Tasik ini sungguh luas" kata Aiman, matanya kembali ke tengah tasik. Fika dan Acik berdiri selari dengan Aiman juga memandang ke tengah tasik.

"Erm.. Fika pun tak sangka. Memang senpai (senior) ada cerita tasik nih luas, tapi bila lihat sendiri nampak seperti lautan" terang Fika kagum.

"Mengikut sejarah, tasik nih terbentuk akibat dari letupan gunung berapi suatu masa dulu. Ala.. macam tasik Danau Toba kat Indon tu" Acik mencelah, berkongsi maklumat yang di perolehinya menyebabkan Aiman menoleh ke arah dua dari tiga orang pelajar perempuan malaysia yang sama usia dengannya itu.

"Mana kau dapat maklumat tu?" tanya Aiman.

"Aku baca semalam bila aku tahu kita nak datang sini" jawab Acik yang sememangnya terkenal dengan pelajar yang suka membaca.

"Tapi maklumat yang aku dapat berbeza dengan yang tercatat dalam sejarah tasik nih" kata Aiman menyebabkan dua sahabat karib itu menoleh ke arahnya.

"Maksud kau?" tanya Acik ingin tahu.

"Sejarah sebenar tentang kejadian tasik ini sengaja ditutup untuk menyembunyikan tragedi berdarah yang berlaku suatu masa dulu. Pemimpin negara ini memang sengaja memalsukan fakta sebenar kejadian tersebut" kata Aiman sambil memandang ke tengah tasik. Kekosongan dalam matanya menyebabkan Fika dan Acik saling berpandangan kerana merasa tertipu dengan sejarah yang dibacanya. "Kita sering menatap fakta yang di tulis tetapi telah mengabaikan persekitaran yang membentuk kejadian. Akal adalah satu cabang ilmu yang perlu kita gunakan. Keraguan dalam fakta sejarah ini amat jelas jika akal kita melihat faktor lampau yang memungkinkan kejadian. Malah terlalu memesong fakta tersebut jika di bandingkan dengan kisah lama yang berkubur di tengah tasik ini" sambung Aiman dengan suara yang mendatar.

"Jadi apakah kejadian sebanar itu, Aiman" tanya Acik ingin tahu. Ternyata lelaki yang di lihatnya kini mempunyai sesuatu yang jarang ditonjolkan. Aiman menatap mereka berdua sekilis kemudian matanya memandang ke tengah tasik.

"Tragedi berdarah ini berlaku suatu masa dulu, peperangan merebut kuasa mutlak untuk menjadi pemerintah tunggal telah mengubah struktur muka bumi yang damai. Kamu berdua tentu tahu kan, peperangan akan mengubah persekitaran dan kerana pertempuran inilah tasik ini terbentuk" kata Aiman sambil menetap dua kawannya itu yang mengangguk bersetuju "Towada adalah nama Otomen pada waktu itu yang telah mengusai hikmat tertinggi pancaran Ultra Unggu. Namun maharaja segala raksaksa bukan senang untuk di tewaskan. Pertemuran paling seru itu memuncak di sini, di tanah ini setelah berlarutan ke seluruh tanah Nihon(Japan) yang mengubah bentuk tanah asal ini. Dan pada kemuncak pertarungan di antara baik dan jahat itu, alam menjadi gerhana dan langit seakan terbelah. Towada telah meletupkan dirinya untuk memusnahkan maharaja raksaksa yang ingin menakluk dunia, pengorbanan itu telah menyebabkan terbentuknya kawah gergasi ini" kata Aiman sambil tertawa kecil bila berjaya mengenakan kawannya. Fika tidak dapat menahan kelucuan yang mencuit dirinya, suara ketawanya kedengaran mengekek mencarit suasana sementera di sebelahnya, Acik merenung Aiman geram.

"Kenapa la aku bodoh sangat boleh terkena dengan mamat nih" luah Acik geram. Namun kemudian dia ketawa sendiri sambil mengeleng-geleng kepala.

"Kenapa?" Daus dan Ina bertanya bila melihat rakan mereka itu ketawa.

"Nih.. Aiman kata tasik nih wujud sebab pertempuran Otomen dengan Raksaksa" kata Fika dengan suara yang penuh dengan kelucuan. Kemeriahan yang memeluk dirinya berpindah ke wajah Daus dan Ina. Mereka berdua turut tertawa.

"Yang kau pergi layan orang gila nih kenapa" kata Daus setelah ketawanya sedikit reda.

Aiman kembali memandang ke tengah tasik. 'Orang gila' yang di sebut oleh Daus itu menarik kembali dirinya untuk mengingati sesuatu. Redup matanya semakin menjauh melihat ufuk tasik yang berkabus. Kenangan lama memburu datang biarpun telah di timbus di negaranya yang jauh. Renungannya itu menyebabkan Fika terdiam, wajah dari sisi Aiman itu ditatapnya lembut, baginya lelaki itu amat aneh. Mata Aiman yang kosong sejak dari tahun pertama mereka di sini telah menarik dirinya untuk mendekati lelaki itu, namun sikap Aiman yang seakan mengabaikan apa yang telah ditunjukkannya itu telah menangguhkan hasratnya.



No comments:

Post a Comment