Wednesday, February 24, 2010

Atira - 54

Perbualan bersama Aiman kembali diingat, kemudian matanya jatuh ke arah bungkusan yang di berikan oleh Mak Usu tadi ketika dia ingin pulang. Kata ibu Aiman tadi, bungkusan itu di berikan oleh Aiman untuk di simpan, kerana Aiman terlupa untuk beberikan bungkusan itu kepadanya sewaktu bertemu dengannya dulu. Namun hati perempuan miliknya merasakan ada sesuatu yang lain dari itu. Tentu Aiman telah menangguhkan perberian tersebut kerana punca-punca yang dia sendiri tidak tahu.

Tangannya mula lincah membuka bungkusan yang berada di atas ribanya. Penampal yang di gunakan itu dikoyak dengan berhati-hati kerana bimbang kertas yang berwarna biru itu koyak. Sebuah kotak di keluarkan dari bungkusan tersebut. Tangannya pantas membuka kotak untuk melihat isinya. Sebuah botol yang kosong tertutup dengan gabus yang berwarna coklat ditarik keluar. Di atas gabus itu terdapat seketul lagi gabus yang berwarna putih. Sebatang dahan kering sebesar batang pen terpacak di atas gabus yang berwarna putih yang dipakukan dengan jarum pada gabus yang berwarna coklat. Dahan kecil itu mengandungi beberapa ranting yang lebih kecil yang menampung kuntum-kuntuman bunga kering.

Atira melihat bunga di dalam botol itu seketika, mencari-cari nama dalam ingatannya namun dia gagal. Bunga itu mempunyai lima kelopak yang kecil nampak lembut berwarna putih kekuningan, sementara batang dahan kecilnya pula berwarna putih kehijauan itu seakan plastik namun dia tahu, itu adalah bunga hidup yang telah kering. Matanya memandang tangkai bunga itu yang memanjang kecil sebelum menatap daun bunga yang agak aneh. Kudup-kudup bunga itu pula berwarna merah jambu seperti debunga yang berada di tengah-tengah kelopak yang kering. Matanya kembali memandang ke dalam kotak, sekeping lipatan kertas di ambil di atas sehelai kain yang masih belum di angkat dari dalam kotak tersebut. Atira membuka lipatan kertas itu kemudian membaca isinya.

Assalamualaikum

Cuba teka itu bunga apa?

Kalau Atira dapat menjawabnya dengan tepat, Iman akan minta mak Iman untuk cepat-cepat meminang Atira. hehhe..

Nak ker bersuamikan orang gila nih?

Atira terdiam. Tiada senyuman yang terlukis di bibirnya namun gurauan dari Aiman yang mengikut kebiasaan itu menyebabkan hatinya menjadi senang. Renungannya semakin asyik menatap tulisan Aiman yang menegak tersusun kemas.

Atira..

Bunga itu istimewa tau. Iman tanam sendiri waktu mula-mula menjejakkan kaki di sini. Itu adalah bunga pertama yang kembang dari dahan yang paling tinggi. Iman tatap setiap waktu kerana Iman letak pohonnya yang masih kecil itu di tepi jendela, menanti dari hari ke hari Iman menunggu, mencari-cari kuntuman pertama yang mekar, tapi bila esok datang, setangkai itu telah kembang. Maybe sewaktu Aiman terlena menanti pagi dalam dingin yang semakin tiba hujungnya ini, kuntum-kuntaman itu mula terbuka. Sayang pula tidak dapat menyaksikannya sendiri

Atira..

Anehkan bila berjauhan dengan ombak, Iman rindukan redup pandangan dari gelombang yang tidak jemu-jemu datang, bila berjauhan dengan laut, Iman rindukan pula pada bau hanyir ikan yang busuk bagi orang lain, bila berjauhan dengan pantai, Iman rindukan pada pasir-pasir kecil nan putih. Tentunya rindu pada mak dan keluarga.. dan bila berjauhan dengan semuanya, Iman mula menyedari sesuatu yang selama ini kabur dibungkus kehijauan yang menutup lautan. Aneh sekali rasa ini, Iman telah biasa dengan kesunyian, telah bermain-main dengan kekosongan, namun bila berjauhan, terasa hati ini berada di halaman

Atira..

Iman akan pulang seketika untuk menjenguk desa yang damai itu. Alam yang berseri itu semakin menusuk dalam pandangan mata Iman kini. Terasa tidak sabar untuk pulang, melihat apakah halaman itu sudi menerima kepulangan Iman nanti.. Terasa hilang segala semangat untuk meneruskan tujuan di sini. Mungkin bila balik nanti jika Iman dianugerahkan kekuatan, ingin Iman tanyakan padamu tentang sesuatu yang sering bermain-main di hati Iman bila berada di sini..Insyaallah.. semoga jawapanmu akan menjadi kekuatan yang akan Iman bawa untuk menjadi teman Iman mencabar tahun terakhir Iman di sini...

Erm..

Atira..

Moga terus berjaya dalam apa jua yang di inginkan...

Iman

Aiman Hasan

p/s : Baju itu untuk Atira. Pakailah nanti bila rindukan orang gila ini.. hehhehe

"Orang gila ini memang gila"katanya perlahan namun tiada segaris senyuman pun yang mengukir dibibirnya, tiada sebintik sinar ceria yang muncul di jiwanya yang seringkali muncul bila dia menyebut perkataan orang gila itu. Entah kenapa, hatinya kosong.

Matanya kembali memandang lautan. Melihat pertemuan yang jauh di antara langit dan lantai alam. Pandangannya berjarak tanpa tujuan itu menyelami kepiluan yang sedang membungkus hati perempuan miliknya. Pelbagai pertanyaan tanpa jawapan yang timbul dalam dirinya tentang Aiman dan tentunya tentang mereka berdua. Agaknya Aiman berjauh hati. Fikirnya sendiri. Lelaki itu pulang seketika untuk mencari kekuatan bagi terus mengapai impiannya di sana. Atira terdiam menyelami punca apa yang di cari oleh lelaki itu, fikirannya melayang jauh ke dalam kenangan mereka bersama, mengutip sesuatu yang mungkin tidak di sedarinya.

Setelah lama terdiam hanyut dalam mainan perasaan yang meronta-ronta pilu, Atira kembali memandang ke dalam kotak. Sehelai sweater berwarna biru di keluarkan dari dalam kotak, Nama tempat pusat pengajian Aiman tertulis timbul dengan benang berwarna hitam keemasan di belakang baju yang di berikan oleh Aiman. Atira menarik kaca mata yang di pakainya kemudian meletakkan kanta itu di sebelah bungkusan yang berada di sisinya, seketika kemudian bahu gadis itu terhenjut-henjut menangis sambil menutup wajahnya dengan pakaian yang diberikan oleh orang gila bersama sebuah kesedaran yang muncul di hatinya.

"Atira ke mana Mak Cik?" tanya Aishah kepada ibu kakak angkatnya itu. Telah setengah jam mereka menunggu namun bayang Atira masih belum ke lihatan. Di sebelahnya Zamzuri memandang persekitaran, menikmati permandangan di kampung gadis yang telah di sukainya.

"Dia ke rumah Mak Usunya tadi. Kejap lagi balik lah tu. Jemputlah minum dulu" pelawa Endong kepada tetamu yang telah berada di pelantar rumahnya. "Ayahnya tak ada. Tak balik lagi dari pekan sejak pagi tadi" sambungnya lagi sambil memandang kearah tetamu lelaki yang datang bersama gadis itu.

"Terima kasih" kata Zamzuri sopan. Air yang ada di depannya di hirup lembut kemudian kembali memandang persekitaran, kagum dengan keindahan ciptaan Tuhan.

"Jauh ker rumah Mak Usu itu Mak Cik?" tanya Aishah lagi ingin tahu.

"Tak adalah jauh sangat. Kat depan tu aja" kata Endong sambil pandangan melihat ke arah depan rumah "Ha.. tu pun dia dah balik" sambungan lagi setelah melihat anaknya itu berjalan ke arah mereka sambil tunduk.



No comments:

Post a Comment