Thursday, February 18, 2010

Atira - 45

Atira berjalan perlahan-lahan ke arah Aiman yang berdiri beberapa langkah darinya. Tangannya membuka songkok yang dipakai di kepala Aiman. "Ada habuk kat songkok nih" katanya sambil membuang habuk yang melekat pada warna hitam songkok tersebut. Setelah memastikan songkok itu bersih dia kembali memandang Aiman.

"Tunduk sikit kepala batu kau tu, nak pakaikan balik nih" katanya menyebabkan Aiman membongkokkan badannya sedikit. Tangannya memanjang ke atas kepala Aiman, meletakkan songkok agak kebelakang kepala Aiman menyebabkan rambut Aiman di bahagian depan songkok itu ke kelihatan. "Aku suka melihat kau selalu pakai songkok macam nih" sambungnya setelah siap. Aiman tersenyum senang.

"Amacam.. hensem tak abang Aiman" tanya Aiman sambil tersenyum.

"Hensem macam orang hutan" sahut Atira sambil berundur beberapa langkah ke belakang sambil memandang ke arah Aiman yang berdiri mendiamkan diri. Kemudian dia kembali berjalan ke arah Aiman. Tangannya membetulkan sampin yang menyelimpang di pinggang lelaki itu. Kemudian menarik-narik baju di bahagian bahu Aiman agar ianya lebih lurus, seterusnya baju melayu yang agak menonjol di bahagian pinggan Aiman itu di masukkan ke dalam sampin agar kelihatan lebih kemas. Kemudian Atira kembali berdiri agar jauh dari Aiman untuk menilai kembali.

"Erm dah elok" katanya kemudian.

"Atira" panggil Aiman lembut. Pandangan dari kaca mata berbingkai hitam yang di miliki oleh gadis di depannya itu ditatapnya lembut.

"Aku jahat kan. Aku harap apa yang aku lakukan hari ini tidak akan mengubah pandangan kau pada aku. Aku suka kau memanggil aku orang gila" kata Aiman sebelum berlalu menyebabkan Atira mengeleng-geleng kepalanya, seterusnya dia terburu-buru menyiapkan kerjanya yang tertangguh dengan kehadiran Aiman. Bibirnya kerapkali mengukir senyuman tanpa dia sendiri sedari.

Tidak berapa jauh dari situ Maria tersenyum di sebalik segugus pohon jejawi yang dipangkas membulat untuk kelihatan menarik. Tangannya mengenggam kamera yang telah dipetik beberapa kali untuk merakamkan sesuatu yang dia sendiri tidak sangka. Senyuman yang masih bersisa di bibir Atira yang sedang menyediakan minuman itu menyebabkan hatinya ceria. Entah kenapa dia tetap merasakan ada sesuatu yang tidak pernah diakui oleh dua rakan mereka itu telah menjelma.

"Woit Atira" satu suara menyergah menyebabkan Atira yang sedang meletakkan gelas di atas meja di kantin sekolah menoleh. Meja-meja tersebut di alas kain terlebih dahulu. Gelas-gelas kosong itu di atur dalam keadaan terbalik bersama pinggan-pinggan kosong yang juga diletakkan menelengkup.

"Ha kenapa Maria. Wajah kau macam terkejut aja" sahutnya.

"Baik kau pergi kat dewan sekarang. Aiman!" kata-kata Maria menyebabkan wajah Atira berubah.

"Kenapa dengan Aiman. Dia buat lawak bodoh ker kat atas pentas tu. Tadi katanya nak ke laut, tak kan dia menebar jala kat dewan tu" tanyanya ingin tahu. kelakuan Aiman yang sedikit gila itu bukan boleh dikira. Terbayang-bayang Aiman yang berpakaian lengkap bersampin tadi.

"Bukan.. bukan Aiman buat lawak. Dia.. dia ah.. kau pergilah sendiri" kata Maria yang sesak nafas menahan ketawa dan termengah-mengah keletihan kerana berlari. Belumpun sempat letihnya berlalu, Atira telah menarik tangannya ke arah dewan sekolah, tempat majlis pertandingan Tilawah Al-Quran sedang berlangsung. Beberapa orang pelajar yang berada di atas kaki lima kelas menyisih memberi laluan. Ketika tiba di tingkap dewan yang terbuka, langkah Atira tiba-tiba terhenti. Suara yang mengejutkannya di kala subuh sunyi itu kedengaran dalam cerah siang yang mula membahang.

Satu suara yang pasrah mendayu-dayu dalam suasana yang kian hangat dari mentari yang mula meninggi di langit. Suara itu kedengaran lunak memuji kebesaran Ilahi, Tuhan yang di sembah yang menjadikan seluruh kejadian di segenap alam. Beberapa orang pelajar perempuan dan lelaki sedang mengintai di celah-celah jendela yang terbuka, menyaksikan seorang wakil sekolah itu yang sedang memperdengarkan bacaannya. Atira memandang ke arah pentas, demi saja terpandang Aiman yang sedang duduk mengaji mewakili sekolah itu, dia terjelepuk di tepi tingkap tersebut. Beberapa orang pelajar perempuan berlari ke arahnya namun Atira kekal bersandar di dinding dewan. Suara itu kian bergema, alunan penuh pasrah itu kedengaran semakin asyik di telinganya bersama redup pandangan mata Aiman yang kosong itu berbalam-balam dalam hatinya.



No comments:

Post a Comment