Thursday, February 18, 2010

Atira - 39

Suasana dewan sekolah hangat dengan pelbagai suara, nada bisikkan dan kesungguhan yang kedengaran sesekali berselang-selang dengan ketawa yang melembutkan suasana yang kian mendebarkan. Semua pelajar tingkatan Lima yang telah mengambil peperiksaan SPM pada tahun itu hadir bersama ibu bapa mereka galak bercerita seribu kisah yang terjadi dalam percutian menanti keputusan diumumkan. Di kalangan pelajar yang hadir, Atira bersama ayah dan ibunya sedang berbual-bual dengan Cikgu Hartini. Di sebelah guru Ekonomi itu, Encik Nizar, suami cikgu Hartini tersenyum melihat Aiman yang berada di sebelahnya bersama Usu Utih dan Durraini Munirah. Anak kecil cikgu Hartini itu dicium lagi. Senyuman Durraini Munirah mula terbentuk. Renungannya penuh minat terhadap wajah yang dilihat dalam mata hitamnya yang besar. Aiman bertambah geram. Pipi Durraini digomol lagi hingga kulit putih gebu itu mula memerah. Cikgu Hartiti tersenyum, suaminya juga tersenyum melihat gelagat Aiman.

Beberapa ketika kemudian, encik Hafis berdiri. Pembesar suara mengalihkan kata-katanya yang perlahan bergema keseluruh dewan sekolah hingga ke luar bangunan. Ucapannya jelas di telinga setiap orang yang mendengarnya namun Aiman tetap memerhati wajah kecil Durraini Munirah. Apa yang di katakan oleh guru besar itu tidak mengalihkan pandangan matanya dari menatap wajah anak kecil yang berada diribaannya penuh geram. Renungan Durraini yang besar tanpa dosa itu menyebabkan dia mencium lagi pipi anak kecil itu hingga sekali sekala Durraini Munirah merengek lemas. Atira memandang kelakuan Aiman itu dengan hujung matanya, tidak menyangka lelaki gila itu suka kepada kanak-kanak, namun apabila Aiman mengangkat pandangan kepadanya, Atira terburu-buru memandang ke arah pentas di hujung dewan dengan pipinya kerap kali terasa panas dan memerah.

"Untuk pertama kali dalam sejarah sekolah ini, ada pelajar yang telah mencipta kejayaan yang begitu membanggakan. Keputusan kejayaan seluruh pelajar juga meningkat, peratus kelulusan setiap mata pelajaran juga meningkat" gema suara encik Hafis di sambut tepukkan gemuruh. Debaran setiap pelajar semakin bertambah. Tumpuan mereka yang hadir penuh minat, Aiman memandang guru besar itu sekejap, namun kemudian kembali memandang Durraini Munirah yang sedang mengapai-gapai tangannya cuba menyentuh saku baju Aiman.

Beberapa ketika berlalu penuh dengan analisa yang telah diolah oleh guru yang bertugas, encik Hafis telah merumuskan kejayaan pelajar dalam tahun tersebut sebagai satu kejayaan yang dikongsi untuk semua. Nama sekolah akan disebut dan nama-nama pelajar yang berjaya akan dikenang sebagai pelajar yang telah mencipta kejayaan. Semua guru-guru tersenyum bangga kerana kejayaan anak-anak remaja yang mereka asuh. Debaran semakin bertambah dikongsi oleh setiap wajah pelajar-pelajar yang bakal mendapatkan keputusan.

Encik Hafis terdiam setelah analisa keputusan itu diperkatakan. Matanya menebarkan pandangan ke arah wajah-wajah harapan bangsa yang akan menjadi tunjang masa depan negara.Pandangan itu penuh kasih dan impian terhadap setiap pelajar itu terlukis dalam renungan wajahnya yang berkabus terharu. Satu tepukan gemuruh yang diberikan kepadanya itu berbunga cambah di hatinya.

"Seterusnya masa yang ditunggu telah tiba. Saya akan memanggil nama pelajar yang paling cemerlang untuk tahun ini untuk datang mengambil keputusan peperiksaan yang telah sedia di tangan saya. Encik Jamaluddin sebagai Pengarah Majlis Pendidikan Negeri ini ada bersama kita. Dia akan memberikan slip keputusan tersebut kepada pelajar yang paling cemerlang sebagai menandakan permulaan keputusan peperiksaan akan diberikan kepada pelajar di sekolah ini" katanya sambil memandang ke dalam dewan. Renungan semua penghuni dewan terarah kepadanya penuh minat dan bangga dengan kehadiran Pengarah Majlis Pendidikan Negeri tersebut, tapi Aiman kekal tersenyum memandang Durraini Munirah yang sedang mengenggam jari-jarinya kemas. Pipi anak kecil itu dicium lagi lembut.

"Sekarang kita meminta Encik Jamaluddin untuk memberikan slip keputusan tersebut kepada pelajar yang akan dipanggil sebentar lagi. Mempersilakan cikgu Omar untuk mengiringi Encik Jamaluddin naik ke pentas" permintaan dari encik Hafis menyebabkan mereka berdua berdiri. Satu tepukan gemuruh berselang seli dengan bisikkan suara di kalangan ibu bapa dan pelajar yang hadir ke dengaran di dalam dewan.

"Dan kita menjemput pelajar yang telah mengharumkan nama Sekolah Menengah Kampung Teluk untuk mengambil keputusan yang akan diberikan. Kejayaan pelajar ini adalah kebanggaan bagi kita dan semoga kejayaan ini akan memulakan langkah perjalanan pelajar ini untuk memburu impiannya walaupun dia ingin berlari ke langit" suara encik Hafis bergema bersama debaran yang mula memenuhi setiap dada mereka yang hadir. "Di persilakan" encik Hafis menyebut nama pelajar tersebut.

Suasana dewan tiba-tiba menyepi dengan degup yang memuncak. Nama pelajar tersebut telah menghentikan bisikkan-bisikkan yang kedengaran di dalam dewan. Kesunyian itu memanjang di kalangan wajah gugu-guru yang berpandangan sesama sendiri sebelum damai yang aneh itu dipecahkan oleh satu tepukan yang kedengaran kuat dari seorang guru perempuan yang telah berdiri. Semua mata memandang ke arah guru tersebut. Berhampiran dengannya, seorang pelajar bangun perlahan-lahan sambil memegang tangan tua ibunya. Kemudian pelajar itu melangkah sambil memimpin tangan ibunya itu ke depan dewan. Semua mata memandang ke arah pelajar tersebut yang sedang mengatur tapak, derap langkah pelajar itu berselang-selang dengan tepukkan yang diberikan oleh seorang guru perempuan.

Suami guru itu yang sedang mendukung bayi pertama mereka kemudian bangun sambil memberi tepukan bersama isterinya. Matanya memadang ke arah pelajar yang sedang memimpin tangan seorang ibu untuk mengambil keputusan peperiksaan penuh kagum dan hormat. Tindakkannya menyebabkan seorang lagi guru bangun bersama tepukan. Kemudian beberapa orang lagi guru bangun memberikan tepukan yang gemuruh. Dalam waktu yang sedetik berlalu, semua penghuni dewan itu berdiri sebagai meraikan kejayaan pelajar yang sedang berjalan bersama ibunya di tengah dewan. Namun di kalangan mereka, ada seorang guru yang sedang berdiri itu menundukkan wajah. Guru itu telah kehilangan bukti yang membanggakan dirinya.

Di tengah dewan. Seorang ibu memandang ke arah pentas yang berada di hujung pandangan itu dengan mata yang berkaca. Setitis air mata jatuh ke pipinya perlahan-lahan membasahi lekuk wajah tuanya. Air mata gembira dan bangga bersatu dalam hati seorang ibu, jiwa seorang perempun yang lembut itu tersentuh dengan kejayaan anak yang pernah dikandungnya. Menyedari ibunya menangis, pelajar itu menangguhkan langkah dan berhadapan dengan wajah ibunya sambil jari-jarinya menyentuh pipi ibunya untuk mengeringkan air mata kegembiraan yang mula mencurah-curah. Sebuah senyuman penuh ikhlas dan kasih di berikan kepada ibunya. Kelakuannya yang membuktikan kasih sayang itu telah menebarkan kepiluan pada hati-hati yang sedang memandang. Satu rasa kagum yang kudus terbit dari jiwa mereka apabila melihat keadaan yang penuh kepasrahan.




No comments:

Post a Comment