Tuesday, February 9, 2010

Atira - 34

Masjid Kampung Teluk yang hanya diterangi oleh lampu depan menyambut kehadiran Aiman dengan tangan yang terbuka. Setelah membasuh kakinya Aiman menoleh ke rumah ayah Aji. Pandangan yang sekejap dalam malam yang tidak berarus itu kembali menyentak kepiluan yang ingin dibuang dari jiwanya, kemudian dia melangkah.

Aiman duduk di tengah masjid. Sebuah Kitab Suci Al-Quran berada di atas rehal yang di berbuat dari kayu cengal hitam itu kemudian dibaca. Aiman mengaji, melapaskan kepasrahan kepada sunyi yang memeluk suasana, suaranya mula mencengkam kesepian yang menjadi irama hujung malam. Nadanya pasrah melepaskan kerinduan kepada arwah ayahnya, menaburkan rasa rendah diri kepada Tuhan, tempat yang paling Hakiki untuk manusia bersandar mencari kekuatan.

Suaranya mendayu-dayu melepaskan kepiluan yang bergemersik dalam suasana yang mendingin menyebabkan pungguk terdiam, gagal menandingi irama kebesaran Tuhan itu berkumandang meratah sepi. Satu Surah demi satu Surah di bacanya, bermula dengan Surah Al-Fatihah sebagai pembuka pintu yang suci, di ikuti dengan Surah Al-Baqarah kemudian bersambung dengan Surah seterusnya. Aiman terus hanyut dalam kedamaian yang mula membelah langit turun ke dalam dadanya.

"Iman" panggil Hj, Arsad ketika menyaksikan Aiman ingin melangkah pulang setelah solat subuh berjemaah.

"Ya ayah Aji" sahut Aiman setelah kembali berdiri di hadapan gurunya itu yang telah berada di perkarangan Masjid.

"Dah terasa damai sekarang" tanya Hj. Arsad menyebabkan bekas anak muridnya itu terdiam. "Nada Iman mengaji semalam penuh kudus meminta pelindungan daripada Allah SubHanahuWataala" sambungnya lagi.

"Iman tak apa-apa ayah Aji" sahut anak muridnya itu menyebabkan Hj. Arsad tersenyum.

"Baguslah macam tu Iman. Kita nih hamba kepadaNya dan Dia adalah tempat yang paling layak untuk kita mengadu tentang apa saja musibah yang menimpa. Tapi Iman jangan minta Dia menarik kembali musibah itu, dugaan yang diberikan untuk itu adalah anugerah untuk kita kembali kepadaNya. Mintalah agar Dia mengurniakan kekuatan dan kesabaran kepada Iman untuk menghadapinya" nasihat Hj. Arsad menyebabkan anak muridnya itu mengangguk faham.

"Tapi sebagai manusia, kita tidak boleh saja meminta, kita juga diwajibkan berusaha untuk menyelesaikan dugaan yang di berikan. Ujian itu adalah satu tangga untuk kita terus mendaki, mendekatkan diri kepadaNya. Iman perlu melihat musibah itu dari sudut yang betul. Terkadang kita manusia nih mudah sangat lupa kepada jalan asal kita. Katakan kita kesunyian, dan kita bosan dengan kehidupan kita. Kenapa kita perlu bosan sedangkan kesunyian itu seperti hadiah untuk kita mendekatkan diri kepadaNya. Isilah kekosongan itu dengan menilai kembali diri kita. Kenapa kita perlu isinya dengan kebosanan yang akan menyebabkan kesunyian hidup kita itu kekal memanjang" anak muridnya itu dilihat mengangguk-ngangguk kepala lagi. Hj. Arsad tersenyum. "Datang ke rumah dulu Iman, kita minum-minum. Rezeki telah terbuka untuk kita memulakan hari ini" pelawa Hj. Arsah kemudian berjalan kearah rumahnya diikuti oleh Aiman.

Aiman berjalan perlahan-lahan meninggalkan halaman rumah sahabat arwah ayahnya yang bersambung dengan Masjid Kampung Teluk. Beberapa ketika berlalu langkahnya terhenti, pandangan ditebarkan ke laut, gelombang yang datang itu telah memantulkan sinar kuning mentari pagi yang mencerah dari ufuk. Kemudian Aiman memalingkan wajahnya ke arah rumah Hj. Arsad seterusnya melihat kedalam tapak tangannya yang di buka perlahan-lahan. Kudup-kudup bunga melor yang putih kekuningan itu ditatapnya seketika sebelum kembali menatap gelombang.

"Pergi dulu Atira. Semoga kegembiraan itu sememangnya dicipta untukmu"

Ucapnya sepatah dalam dingin bayu yang mulai menghangat seakan madah kudus melepaskan segala kerinduan tertangguh kepada suasana yang bisu. Di depannya satu jalan sepi menanti, melampai-lambai memanggilnya untuk melangkah pergi sementara di belakangnya berbekas memanjang aturan tapak kakinya yang selari dengan kegembiraan. Biarpun selama ini kekosongan itu jelas dalam matanya namun hatinya tidak pernah kesunyian. Tapi, ketika langkah kaki Aiman kembali tergerak, kenangan lama yang menceriakan itu ditanam di pasir yang memutih. Telapak tangannya kembali tertutup, kepulangannya kali ini, hanya kudup-kudup yang dikutip di pasir akan menjadi bekal kekuatannya mencabar sunyi. Langkah kakinya terus maju tanpa menoleh.

"Assalamualaikum" suara Atira bergema setelah tiba di hadapan rumah keluarganya. Salam yang diberikan itu di jawab oleh suara yang amat di kenali, matanya memandang di persekitaran sebelum satu suara kembali mengalihkan dirinya.

"Dah sampai pun anak mak, terkejut jugak Atira telefon kata nak balik sedangkan sekarang bukan waktu cuti" kata Endong sambil tersenyum. Lukisan manis di bibirnya itu disambut oleh anaknya yang berada di tangga. Tangan ibunya itu di ciumnya lembut kemudian dua beranak itu berpelukkan seketika, melepaskan rindu setelah beberapa bulan tidak bersua.

"Ayah mana mak?" tanya Atira setelah melepaskan pelukkan ibunya.

"Ayah kamu keluar ke pekan. Ada kerja dengan Majlis Agama katanya" jawab Endong sambil memandang ke arah bunga melor yang dipandang oleh anaknya.

"Mak jaga elok bunga tu masa kamu tak ada. Pagi tadi pun Aiman duduk sentuh bunga itu lepas minum bersama ayah kamu" dedah Endong kembali menarik perhatian anaknya. "Lama dia mengaji semalam. Pagi tadi dia ada minta dengan mak beberapa kuntum. Mak kata, kena tanya kamu sendiri. Sudahnya dia ambil yang gugur saja. Katanya dia lupa nak minta dengan kamu masa dia pergi cari kamu dulu. Ada kamu jumpa dia kat sana?" soalan yang tidak putus-putus dari ibunya menyebabkan Atira terdiam. Dia tahu Aiman memang sukakan bunga melor itu. Setiap kali lelaki itu datang pasti bunga melor itu yang dipandang. Kemudian Atira kembali memandang ibunya.

"Dia pergi cari Atira?" tanyanya hairan kepada ibunya yang sedang tersenyum.

"Ada jumpa dengan dia tak kat sana?" ulang ibunya ingin tahu.

"Ada"

"Dia memang ada datang kat sini meminta izin dengan ayah dan mak untuk berjumpa dengan kamu kat sana. Katanya lama dia tak jumpa kamu. Mak ngam ayah dah izinkan kamu jumpa dengan dia tapi kami tak sempat nak kirimkan apa-apa untuk kamu. Tak nak menyusahkan dia" terang ibunya menyebabkan Atira terdiam. Matanya kembali memandang ke dalam rumah.

"Akmal mana mak, nak ajak dia temankan Atira melawat Mak Usu" tanya Atira

"Eh.. kamu nih kenapa Atira. Tak tahu ker yang adik kamu tu tinggal kat asrama. Minggu nih kan minggu pertama, adik kamu tu tak balik" terang Endong sambil geleng-geleng kepala. "Masuklah Atira, mak dah masakkan sarapan kegemaran kamu tu. Marilah kita makan, lepas sarapan nanti pergilah kamu jumpa Mak Usu tu" ajak ibunya sambil berjalan ke dalam rumah. Atira memandang bungan melor itu lagi sebelum mengikut ibunya. Di pantai Kampung Teluk, mentari semakin meninggi di ufuk, sinaran kuning mentari pagi itu mula menjadikan dada lautan seperti cermin itu memantulkan sinar kuning dari bola cahaya yang sedang gagah melangkah di langit, menandakan perubahan waktu dan menjemput masa depan untuk berlaku.

"Assalamualaikum"

"W'salam.." sambut Usu Utih dari atas rumah, kemudian dia berjalan ke arah pintu rumahnya yang terbuka.

"Ha.. bila balik Atira, naiklah" pelawa Usu Utih.

"Pagi tadi Mak Usu" jawab Atira sambil tersenyum "Ini Atira belikan untuk Mak Usu" kata Atira sambil menghulurkan sebuah beg kertas kepada ibu Aiman, sebuah lagi bungkusan yang berbalut ingin di berikan kepada Aiman.

"Duduk dulu, Mak Usu buatkan air" pelawa Usu Utih setelah mengambil beg kertas yang di berikan kepadanya dan meletakkannya di atas tv yang berada sudut kiri rumah itu

"Eh.. tak payahlah Mak Usu. Atira buatkan sendiri" tegah Atira sambil mengikut perempuan yang di panggil Mak Usu itu ke dapur.

"Mak Usu duduk ya. Biar Atira yang buatkan air" pinta Atira setelah dia tiba di dapur. Usu Utih mengangguk sambil duduk di atas kerusi makan yang ada di ruangan dapur. Matanya hanya memandang Atira yang sering datang itu menyediakan minuman untuk mereka berdua.

"Mak kirim salam kat Mak Usu" kata Atira sambil meletakkan air yang dibuatnya di depan Usu Utih. Kemudian dia ikut duduk di depan ibu Aiman itu. Matanya memandang Mak Usunya penuh kasih

"W'salam" jawab Usu Utih perlahan. Air di dalam gelas yang di buat oleh Atira di minumnya seteguk kemudian tersenyum memandang Atira.

"Kamu makin cantik Atira. Senyuman kamu pun makin manis" pujinya menyebabkan gadis itu kembali tersenyum.

"Mak Usu memang selalu puji Atira" jawabnya menidakkan namun hatinya ceria menerima pujian yang ikhlas "Erm.. Iman mana Mak Usu?" sambungnya setelah beberapa kali memandang sekeliling.

"Iman tak bagitahu ker masa dia pergi jumpa Atira" tanya Usu Utih kepada gadis di depannya.

"Bagitahu apa?" tanya Atira keliru.

"Iman bertolak pagi tadi. Irfan dengan Hidayah serta anak pertama mereka menghantar dia ke stesen bas. Agaknya sekarang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. Malam nih dia bertolak ke sana. Kata Irfan tadi, dia nak singgah ke bandar kejap. Nak beli banyak barang. Aiman nak Mak Usu pergi, tapi Mak Usu tak nak. Hari Ahad nanti nak balik ke Kuala Lumpur, rindu Mak Usu pada rumah nih tak terubat lagi" kata Usu Utih sambil tunduk. Kenangannya bersama arwah suaminya masih segar dalam ingatan. Banyak kisah duka dan bahagia yang telah ditempa bersama arwah suaminya dulu. "Lagipun setiap kali Mak Usu menghantar Iman, tentu Mak Usu menangis. Berat langkah dia nak pergi" sambung Usu Utih lagi sambil menatap wajah gadis.

"Erm..Iman bergaduh lagi dengan Atira ya" tanya Usu Utih bila melihat wajah Atira yang berubah.

"Erm.. tak lah Mak Usu" jawab Atira, namun matanya telah jatuh ke lantai dapur rumah tersebut.

"Tapi kenapa dia tak bagitahu Atira dia bertolak pagi nih?"

"Dia ada bagitahu Atira Mak Usu. Cuma Atira yang tak tanya dia masa yang tepat" kata Atira menjaga suasana, senyuman di bibir Usu Utih kembali berputih namun entah kenapa hatinya terasa kosong.

"Oh ya" kata ibu Aiman sambil bangun. "Atira duduk kejap ya" sambungnya sebelum naik ke ruang tamu. Atira hanya mengikut langkah ibu Aiman itu dengan matanya.

"Ini untuk Atira" kata ibu Aiman setelah kembali ke ruangan dapur, di tangannya ada sebuah bungkusan. "Sebelum pergi tadi, Iman ada serahkan pada Mak Usu, minta Mak Usu simpan. Katanya terlupa nak bagi kamu hari tu. Dia minta Mak Usu bawa bungkusan nih bersama Mak Usu. Tapi, dah kamu ada ada kat sini, lagipun bungkusan nih untuk kamu, Mak Usu bagi pada kamu ajalah" sambung Usu Utih sambil menyerahkan bungkusan itu kepada Atira.

"Dia tak minta sampaikan pada Atira pun Mak Usu" tanya Atira sopan.

"Ala.. kamu bukan tak tahu Iman tu. Kalau ada apa-apa, bukannya dia nak bagitahu. Memang dia pesan agar Mak Usu bawa bungkusan tu bersama Mak Usu, tapi tidak pula dia pesan agar jangan bagi pada kamu. Dah bungkusan tu untuk kamu, lambat laun kamu akan dapat juga" terang Usu Utih sambil tersenyum melihat gadis di depannya itu menundukkan wajah. Seterusnya mereka berbual-bual tentang kehidupan yang dilalui oleh mereka berdua.



No comments:

Post a Comment