Tuesday, February 9, 2010

Atira - 27

Tidak berapa jauh dari situ Maria tersenyum di sebalik segugus pohon jejawi yang dipangkas membulat untuk kelihatan menarik. Tangannya mengenggam kamera yang telah dipetik beberapa kali untuk merakamkan sesuatu yang dia sendiri tidak sangka. Senyuman yang masih bersisa di bibir Atira yang sedang menyediakan minuman itu menyebabkan hatinya ceria. Entah kenapa dia tetap merasakan ada sesuatu yang tidak pernah diakui oleh dua rakan mereka itu telah menjelma.

"Woit Atira" satu suara menyergah menyebabkan Atira yang sedang meletakkan gelas di atas meja di kantin sekolah menoleh. Meja-meja tersebut di alas kain terlebih dahulu. Gelas-gelas kosong itu di atur dalam keadaan terbalik bersama pinggan-pinggan kosong yang juga diletakkan menelengkup.

"Ha kenapa Maria. Wajah kau macam terkejut aja" sahutnya.

"Baik kau pergi kat dewan sekarang. Aiman!" kata-kata Maria menyebabkan wajah Atira berubah.

"Kenapa dengan Aiman. Dia buat lawak bodoh ker kat atas pentas tu. Tadi katanya nak ke laut, tak kan dia menebar jala kat dewan tu" tanyanya ingin tahu. kelakuan Aiman yang sedikit gila itu bukan boleh dikira. Terbayang-bayang Aiman yang berpakaian lengkap bersampin tadi.

"Bukan.. bukan Aiman buat lawak. Dia.. dia ah.. kau pergilah sendiri" kata Maria yang sesak nafas menahan ketawa dan termengah-mengah keletihan kerana berlari. Belumpun sempat letihnya berlalu, Atira telah menarik tangannya ke arah dewan sekolah, tempat majlis pertandingan Tilawah Al-Quran sedang berlangsung. Beberapa orang pelajar yang berada di atas kaki lima kelas menyisih memberi laluan. Ketika tiba di tingkap dewan yang terbuka, langkah Atira tiba-tiba terhenti. Suara yang mengejutkannya di kala subuh sunyi itu kedengaran dalam cerah siang yang mula membahang.

Satu suara yang pasrah mendayu-dayu dalam suasana yang kian hangat dari mentari yang mula meninggi di langit. Suara itu kedengaran lunak memuji kebesaran Ilahi, Tuhan yang di sembah yang menjadikan seluruh kejadian di segenap alam. Beberapa orang pelajar perempuan dan lelaki sedang mengintai di celah-celah jendela yang terbuka, menyaksikan seorang wakil sekolah itu yang sedang memperdengarkan bacaannya. Atira memandang ke arah pentas, demi saja terpandang Aiman yang sedang duduk mengaji mewakili sekolah itu, dia terjelepuk di tepi tingkap tersebut. Beberapa orang pelajar perempuan berlari ke arahnya namun Atira kekal bersandar di dinding dewan. Suara itu kian bergema, alunan penuh pasrah itu kedengaran semakin asyik di telinganya bersama redup pandangan mata Aiman yang kosong itu berbalam-balam dalam hatinya.

Di gigi pantai Kampung Teluk, dedaun ru melampai-lampai mengikut sentuhan bayu yang bertiup. Laut semakin hijau galak bermain-main dengan sinar kuning terang yang di pancarkan oleh mentari, gelombang yang membawa harapan datang memburu tujuan, menghempaskan kerinduannya ke pada pandai, mengukir lekuk pasir sebelum kembali ke lautan.



No comments:

Post a Comment