Tuesday, February 9, 2010

Atira - 20

Petang itu seperti petang sebelumnya, Atira membantu ibunya di dapur untuk menyediakan makanan petang. Tangannya yang putih itu lincah mengacau gulai ikan semilang yang di beli oleh ayahnya di jeti pulau tadi. Setelah memastikan masakan tersebut masak. Dia menutup gas yang menyala biru dan kuning. Lidah-lidah api yang galak itu terpadam meninggalkan kesan sedikit hangus di tepi periuk yang di gunakan. Atira menoleh, emaknya sedang membuka rak almari dapur yang berwarna coklat. Sebuah bekas di keluarkan dari almari itu.


"Atira, letakkan lauk tu ke dalam bekas nih sikit" arah emaknya.


"Ayah keluar mengajar agama kat mana malam nih mak" tanyanya. Kebiasaan bila ayahnya dijemput untuk memberi syarahan agama, emaknya akan menyediakan bekal makanan yang di masak sendiri.


"Malam nih ayah kau tak ada mengajar ke mana-mana"


"Jadi makanan untuk siapa mak?" tanya Atira ingin tahu.


"Tadi ayah kamu pesan pada mak. Minta adik aku Akmal itu hantarkan makanan ke rumah Usu Utih. Anak Aiman balik seorang" terang ibunya menarik perhatian Atira.


"Kenapa nak kena hantar ke rumak Mak Usu tu. Aiman kan boleh masak sendiri"


"His.. kamu nih. Ayah kamu tu dengan arwah Hasan tu kawan baik. Risau dia, takut anak arwah kawan dia tu tak makan" jawapan dari emaknya menyebabkan Atira terdiam, kisah lampau antara ayah dan arwah ayah Aiman memang di ketahui sejak dulu. "Dah beberapa hari Aiman tu balik. Ayah kamu ingatkan mak dia akan menyusul sama. Hari nih pun Usu Utih tak balik, tu yang tadi ayah kamu pesan tadi. Risau takut Aiman tu makan meggi tiap-tiap hari" sambung emaknya menyebabkan Atira tersenyum.


"Ala.. biar la dia nak makan meggi. Perangai macam orang hutan, memang sesuai sangat la makan meggi" kata Atira. Bekas yang dikeluarkan oleh emaknya itu dibawa ke tempat membasuh pinggan. Bekas itu perlu dicuci dulu. Endong memandang anak gadisnya sambil tersenyum.


"Perangai macam orang hutan, tapi orang hutan tu suka tengok bunga melor" kata-kata ibunya menyebabkan tangan Atira yang sedang membasuh bekas makanan itu terhenti. Darah menyimbah ke muka mengubah warna wajahnya yang putih. Pantas di menoleh. Wajah ibunya itu mengukir senyuman.


"Dia tu kalau datang, memang selalu memuji bunga tu. Agaknya dia suka tengok bunga yang kau tanam tu yang rendang. Lebat pula tu bunganya" sambung Endong. Matanya menatap wajah anaknya yang telah berubah. Atira kembali memalingkan wajah, tangannya mengosok bekas yang dibasuh perlahan-lahan. Telinganya dapat menangkap ketawa ibunya yang lembut, menyebabkan dia tidak berani menoleh. Entah kenapa liang-liang roma halus dilengannya berdiri.


Malam itu Atira sendirian di biliknya. Bungkusan dari Maria belum dibuka, sementara bungkusan dari Aiman itu masih belum dikeluarkan lagi isinya. Perlahan-lahan tangannya mengambil bungkusan dari Aiman. Selendang yang berwarna biru ditarik keluar. Sebuah lipatan kertas jatuh bila selendang itu dibuka. Kertas itu diambil dan dibacanya.


Atira


Menepati kata yang terluah sewaktu di kelas terakhir dulu, Iman tuliskan di sini apa yang tertangguh yang mungkin tertanya-tanya buatmu.


'Kalau tak ada apa yang menarik dan gembira lagi di sekolah, Aiman boleh jadikan yang tak menarik itu.., kegembiraan buat Aiman. Anggaplah saja yang tak menarik itu adalah kelucuan yang menghiburkan'

Masih terdengar lagi kata-kata Atira buat Iman satu waktu dulu


Terima kasih kerana menunjukkan kepada Iman cara untuk bangkit dari rebah, menunjukkan kepada Iman bagaimana untuk melihat gelombang yang datang bersama ombak, mengajar Iman untuk memilih batu-batu putih dari pasir pantai yang menguniing terbentang.. menjelaskan kepada Iman tentang kepasrahan pantai yang sering dipukul ombak yang datang dari jauh...Iman terlalu menghargainya... dari tunjuk ajar itu Iman mampu bangkit dari sebuah keadaan yang memilukan.. Atira telah menunjukkan kepada Iman sinar mentari yang bangit di ufuk untuk menerangi kegelapan perjalanan Iman. Terima kasih


Atira..

Iman bentangkan seluruh keikhlasan yang ada di hati Iman untuk memohon maaf di atas segala kenakalan yang Iman buat, usikan Iman terhadap Atira dan kelakuan Iman yang mungkin telah menjejaskan nama Atira.. di saat lalu dan di masa yang akan berlaku, kegembiraan yang menarik di hati Iman untuk meneruskan tujuan kehidupan itu akhirnya Iman temui..


Atira..

Moga jika ada kesempatan di antara waktu-waktu yang akan berlaku, Iman akan dapat menatap senyuman yang jarang-jarang terukir di bibirmu


Atira..

Moga terus berjaya dan Iman ingin melihat dirimu berdiri mengenggam impianmu.. akan Iman luangkan doa kudus untukmu dalam waktu-waktu Iman mengangkat tangan ke langit memohon restu untuk dirimu terus mencabar hidupmu.. moga terus tabah tetapi pasrah ke pangkuan Ilahi..


Iman

Aiman Hasan


Atira termenung jauh, menembusi kertas yang berada di depan matanya. Mencari-cari sesuatu yang dia tidak tahu sedang bergemersik di hati perempuan miliknya namun seketika kemudian dia meletakkan surat itu kembali sambil tersenyum. Apa yang cambah di hati di biarkan bersama angin yang telah berlalu.


"Orang gila. Tak boleh percaya sangat" katanya sendirian. Kemudian dia bangun, selendang biru yang di ambil dari kotak itu di letakkan ke atas kepala. Atira melihat dirinya di dalam cermin. Seri wajahnya yang putih bertambah dengan warna biru yang turun dari selendang kewajahnya. Lama direnungnya wajah sendiri, namun fikirannya kosong. Matanya menatap cermin tetapi pandangannya bisu.


Beberapa ketika kemudian dia tersedar dari hanyut. Selendang biru masih berada di kepalanya ketika tangannya mengambil bungkusan pemberian Maria, kawannya itu untuk dibuka. Dua buah bingkai gambar di lihatnya dalam keadaan terbalik. Di atas bingkai gambar yang terbalik itu, ada sekeping kertas. Atira mengambil kertas itu dan membacanya.


Hehehe..

Jangan korang terkejut pula nengok bingkai gambar tu terbalik. Sengaja aku letak terbalik, biar korang saspen. Baca yang nih dulu.


Aku malas nak tulis banyak kali. So kalau salah seorang dari kamu berdua dapat kertas nih yang di fotostat... halal la erk.. isinya sama so aku copy aja kat kedai. Ini hadiah aku kat korang berdua. Bingkai gambar tu aku beli kat Pahang tau. Aku dah letak gambar yang aku rasa sesuai, nanti lepas baca nih korang tengok la gambar tu. Tapi jangan terkejut, sebab gambar tu gambar curi, aku ambik masa korang berdua tak sedar...


Aku ingat aku nak bagi sekeping sorang gambar tu, so kalo korang nak tengok yg sekeping lagi, kena minta ngam salah seorang dari kamu berdua, tapi kalau aku buat macam tu, tentu korang tak akan mintak. Orang gila mungkin akan minta ngam Atira, tapi kasihan pula aku kat kawan aku tu aku baik kan Atira.. hehehe

Eleh.. bergaduh konon.


Woit korang tengok la gambar tu.. tengok.. korang bergaduh ke tak.


Atira

Kalaupun kau marah dengan orang gila tu.. jangan la ko nengok dia macam tu.. syahdu rasanya.. terbayang-bayang dalam mata aku, Mak Aji melihat Pak Aji masa muda. hahahahhaa


Aiman gila

Kau nampak macam abah dalam gambar tu.. kat sebelah tu kau punya isteri erk..heh

Nanti aku jumpa korang berdua, aku akan kemukakan soalan. Aku akan tanya Atira ngapa kau nengok Aiman macam tu bila kau marah? Aiman pula aku nak tanya kat sebelah kau tu siapa?


Jangan marah tau.

Maria Abd. Rashid


p/s:

negatif untuk dua gambar nih aku asingkan dua. Satu utk satu kotak. Kalau korang nak negatif tu, korang kena minta la antara satu sama lain. Ha.. masa tu boleh la korang bincang pasal gambar tu.. hehehhehehe .. jahat jugak aku sikit kan..?


"Kawan aku yang nih pun gila jugak" kata Atira setelah membaca surat tersebut.


Kemudian tangannya menarik dua bingkai gambar yang terbalik untuk menatap ke dua-dua gambar yang diberikan oleh sahabatnya. Sejurus berlalu dia menyepi. Dadanya berombak dan hanya degup jantungnya yang kedengaran memukul sunyi. Di luar rumah, ombak menghempas ke pasir, menarik-narik batu kecil ke lautan, mengalih lekuk pantai yang bergigi, bersama waktu yang mula berubah.



No comments:

Post a Comment