Monday, February 8, 2010

Atira - 12

Pertemuan yang seketika di tepi gelombang itu dibuktikan oleh pasir yang memutih. Tercatat dalam waktu yang telah beralih. Terabadi dalam kenangannya. Saat di mana dia melihat untaian jernih titisan air mata dari seorang remaja lelaki tumpah. Bukan kerana kesakitan jasadnya, namun kerana sebuah penerimaan kepada ujian yang datang. Rasa suam air mata yang mengalir di pipi lelaki itu jatuh ke jiwa perempuan miliknya, dah hatinya merudum pilu pada waktu itu juga. Matanya sendiri menyaksikan pandangan yang kosong itu berkaca. Terpahat dalam kenangannya yang telah ditinggalkan jauh. Ditinggalkan oleh kelakuan Aiman yang telah menutup peristiwa. Dan di akhir pertemuan yang sekejap itu, dia melihat Aiman tersenyum. Senyuman yang dipaksa. Senyuman yang dipalsukan oleh bibir Aiman. Ya..! mata Aiman tetap menunjukkan jiwa Aiman yang sebenarnya. Kosong dan sunyi. Atira melihat lelaki di depannya itu bangkit dari kesedihannya dengan bertongkatkan kesunyian.

Dan bila Aiman ke sekolah pada hari seterusnya. Itulah Aiman yang ada hari ini. Yang ceria ketawa. Yang sering mengusik dan menimbulkan ketawa pada kawan-kawannya. Tapi jauh di sudut hatinya yang tersembunyi lagi terrahsia, tiada siapa yang tahu apa yang ada di situ. Semuanya di sembunyikan di sebalik kelakuan Aiman yang nakal. Atira tahu ada sesuatu yang disembunyikan oleh teman sekelasnya itu. Aiman yang berada di sekolah berbeza dengan Aiman yang sering dilihatnya merenung gelombang. Di hatinya sering timbul keinginan itu mengetahui apa yang dicari oleh lelaki itu di laut yang luas, namun kelakuan Aiman yang sedikit gila telah menangguhkan hasrat jiwanya.

"Bangun" suara Latif bergema. Memutuskan benang-benang kenangan lama dan manarik Atira untuk berada dalam realiti. Atira bangun. Matanya memandang sebelah kanan. Tempat Aiman masih kosong.

"Utiliti Sut" tertera dengan huruf besar di papan hitam kelas. Tajuk untuk subjek ekonomi yang di ajar oleh cikgu Lokman pada hari itu. Lebih 10 minit telah berlalu, Aiman masih belum kelihatan. Cikgu Lokman juga tidak bertanya tentang seorang pelajar kelas tersebut yang hilang. Atira menoleh ke sebelah kirinya, kerusi itu seperti tadi. kosong.

Tok.. Tok..

Semua mata memandang ke arah pintu. Aiman berdiri sambil memandang cikgu Lokman.

"Assalamualikum cikgu" katanya lembut sambil melangkah ke dalam kelas.

"Awak ke mana Aiman?" salam dari Aiman hanya di jawabnya di dalam hati.

"Tandas cikgu!"

"Tandas begini punya lama. Baik awak berrumah aja dalam tandas aja" suara cikgu Lokman mula menengking. Mata Aiman menatap gurunya itu tanpa emosi. "Sudah.. kalau awak tak ada minat nak belajar. Baik awak tak payah masuk kelas saya. Saya pun tak suka melihat muka awak dalam kelas saya" sambung cikgu Lokman dendan wajah mula memerah. Semua pelajar dalam kelas tersebut diam. Tidak menyangka cikgu Lokman begitu marah. Suara guru itu bergema kuat. Hati semua pelajar di dalam kelas kecut.

Cikgu Razak yang sedang mengajar di kelas Lima Sains dapat mendengarnya. Dengan isyarat tangan. Dia meminta pelajarnya diam. Kemudian cikgu Razak berjalan perlahan-lahan ke pintu belakang. Dari cermin tingkat kelas dia mengintai, cuba mencari apa yang terjadi.

"Maaf cikgu. Lepas ke tandas tadi, cikgu Zaidi, cikgu yang mengelola kelas tingkatan tiga panggil saya pasal lepas sekolah nanti saya perlu bantu dia siapkan dewan sekolah. Dewan itu perlu siapkan untuk proses motivasi pelajar" kata Aiman masih berdiri.

"Awak nih Aiman, ada saja alasan awak"

"Bukan alasan cikgu. Saya katakan apa yang terjadi"

Semua pelajar dalam kelas itu diam. Sunyi meraih suasana seketika. Damai yang aneh itu terasa panjang di dalam dada semua pelajar dalam kelas tersebut. Azman mula menundukkan wajah. Hairuddin di sebelahnya menoleh ke arah Aiman sementara Nik Man memandang Aiman penuh simpati. Di belakang kelas, degup jantung Atira berdebar-debar memalu dadanya.

"Maaf cikgu" luah Aiman ikhlas.

"Maaf..?? lepas tu awak akan buat lagi. Saya bukannya suka awak jadi pelajar saya. Kalau awak tak nak masuk kelas nih, tak payah masuk!. Lagi aman saya" ulang cikgu Lokman.

Aiman menatap cikgu Lokman dengan wajah yang mula berubah. Pagi itu telah tercemar. Namun dia hanya mendiamkan diri sambil menundukkan wajah. Terfikir bahawa dia tidak perlu mengatakan apa-apa. Nanti akan menambahkan kemarahan cikgu Lokman.

"Awak ingat saya nih macam cikgu Hartini yang awak boleh buat suka hati awak?. Masuk kelas ikut suka awak aja. Kalau tak nak belajar, awak boleh pergi" kata cikgu Lokman lagi melepaskan rasa panas hatinya.

"Tak apalah cikgu. Kalau cikgu tak suka saya ada dalam kelas. Rasanya tak payahlah saya masuk kelas cikgu. Kasihan pada kawan-kawan saya nak belajar" kata Aiman setelah lama diam. Dia berpaling dan terus melangkah ingin meninggalkan kelas.

"Baguslah macam tu. Sedar diri pun. Buat menghabiskan duit mak awak aja datang ke sekolah. Ayah awak dah la tak ada. Harapkan mak awak aja yang menyara awak. Itu pun awak tak nak berterima kasih pada mak awak. Bukan nak belajar elok-elok. Tapi perangai macam budak hisap dadah saja. Kasihan cikgu Hartini dapat anak murid macam awak." kali nih semua wajah dalam kelas tersebut berubah. Muka Atira memucat, kenangan lama mencuit-cuit menambah resah.

Kata-kata tajam dari cikgu Lokman menyebabkan langkah kaki pelajar yang ingin meninggalkan kelasnya itu tertangguh. Tubuh Aiman terhenti di muka pintu. Kakinya tidak mampu melangkah. Kata-kata cikgu Lokman menghiris jiwanya. Takhta hatinya, tempat ibunya berada terasa bergoyang. Darah panas membuak-buak ke muka sementara rasa dingin telah menghuni hatinya. Liang-liang romanya mula berdiri. Rasa itu, rasa yang menampakkan tubuh cikgu Lokman mengecil.

Aiman memalingkan wajah, kemudian berjalan perlahan-lahan ke arah cikgu Lokman yang berada di depan kelas. Hati semua pelajar dalam kelasnya berdebar-debar sementara cikgu Razak mengurut dadanya sendiri.

'Jangan kau buat kerja gila Aiman' doa Nik Man dalam hatinya. Bimbangnya peristiwa hitam dulu berulang. Dia pernah melihat tindakkan Aiman yang tidak terduga. Tindakkan kawannya itu sukar di jangka. Latif yang melihat Aiman melangkah ke arah cikgu Lokman mula bersedia. Matanya merinci memandang setiap langkah Aiman dengan penuh curiga. Dia akan cuba menghalang sekiranya sesuatu yang tidak diingini terjadi.

Aiman berhenti lima langkah dari cikgu Lokman. Wajahnya berubah. Pandangan matanya berkaca. "Arwah ayah akan menangis dengan tindakkan saya hari ini. Ibu saya di rumah akan meratapi apa yang saya lakukan saat ini" kata Aiman lembut.

"Namun demi meraka, saya cabar cikgu. Saya tidak akan ada lagi dalam kelas ini waktu kelas ekonomi. Tapi kalau saya lebih tinggi dari Kamal dalam SPM nanti untuk subjek ekonomi, saya harap cikgu letak jawatan cikgu sebagai ketua penasihat ekonomi sekolah. Biar cikgu Hartini yang lebih layak dapat jawatan tu. Kawan-kawan saya yang ada kat kelas nih akan menjadi saksi saya. Saya cabar cikgu!" cikgu Lokman tersentak. Kata-kata Aiman telah mencalar egonya. Pelajarnya itu telah bertindak kurang ajar. Dia ingin mengatakan sesuatu namun Aiman tidak menunggu lama. Langkahnya pantas meninggalkan kelas.

"Aiman" Atira tiba-tiba menjerit. Semua mata tertumpu ke belakang kelas. Wajah gadis itu memucat. Namun panggilan Atira tidak dapat menghentikan langkah Aiman yang mula menjauh. Bayang pelajar itu telah lama menghilang.

No comments:

Post a Comment